Kemenangan PRK Ayer Kuning bukti rakyat tolak politik perpecahan PN
- Suara Keadilan
- 15 hours ago
- 1 min read

Kemenangan bergaya calon Perpaduan di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning membuktikan dengan jelas rakyat menolak politik adu domba dan kebencian mainan Perikatan Nasional.
Menurut Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak, Datuk Asmuni Awi, kemenangan itu juga menandakan kesepaduan jentera BN dan Pakatan Harapan Perak yang ampuh dan mampu menggerakkan penyokong masing masing keluar mengundi.
"Kemenangan ini adalah mesej jelas daripada rakyat bahawa mereka memilih jalan perpaduan dan kestabilan, serta menolak politik kebencian dan sentimen sempit yang cuba dimainkan sepanjang tempoh kempen.
"Ini juga membuktikan kesepaduan erat antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam memastikan suara rakyat dipertahankan, dan pembangunan dapat diteruskan dengan lebih berkesan," katanya dalam kenyataan.
Asmuni dalam pada itu merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, merangkap Pengerusi Barisan Nasional Perak atas kepercayaan yang diberikan kepada AMANAH untuk membantu operasi jentera di lima daerah mengundi (DM) sepanjang PRK tersebut.
"Kami juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh jentera AMANAH dari seluruh negara yang telah berjuang tanpa mengenal penat lelah dari hari pertama hingga ke saat akhir. Semangat kerja berpasukan ini membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan bukan sekadar slogan, tetapi realiti yang diterjemahkan di lapangan.
"Kemenangan ini menjadi asas penting memperkukuhkan lagi kerjasama menuju Pilihan Raya Umum ke-16 demi memastikan kestabilan, kesejahteraan dan kemajuan negara terus dipertahankan," katanya lagi.
Untuk rekod, PRK Ayer Kuning bermula dengan kempen kebencian apabila jentera PN menjajakan isu ladang babi di kawasan Tanjung Keramat sebagai modal utama kempen untuk menjauhkan orang Melayu Islam dari calon BN.
Sedangkan pada waktu Pas berada dalam Kerajaan Negeri Perak pada 2020 - 2022 isu ladang babi jarang sekali disenuh, apatah lagi dipindahkan.
Comments