Kemenangan calon Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu (KKB) semalam merupakan kayu ukur penting dalam politik Malaysia.
Menurut Ketua Pemuda Amanah Nasional, Senator Hasbie Muda, kemenangan tersebut adalah petanda jelas anak muda, wanita, orang Melayu dan bukan Melayu telah bersama Kerajaan Perpaduan dan sekaligus menolak Gelombang Hijau perkauman tajaan pembangkang.
"PRK ini juga membuktikan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjaya mengembalikan kepercayaan penjawat awam dan sekaligus menjadi indikasi bahawa kerajaan hari ini berada di landasan yang tepat, di mana pertumbuhan ekonomi menjadi fokus utama dan agenda rasisme serta manipulasi agama ditolak sekeras-kerasnya," kata Hasbie dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, katanya, Pemuda AMANAH turut mengucapkan tahniah kepada calon Perpaduan, Pang Sock Tao yang membawa imej sederhana Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan sepanjang tempoh berkempen.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada ‘wira’ tidak didendang, yakni seluruh aggota dan petugas parti di PRK N.06 Kuala Kubu Bharu yang memastikan urusan perjalanan pilihanraya berjalan lancar.
Tegas Hasbie, selepas ini rakyat Malaysia perlu membuktikan kepada dunia bahawa masyarakat majmuk negara ini mampu mengekalkan keharmonian dan kestabilan politik negara.
Untuk rekod, kemenangan Sock Tao di tengah tengah kempen perkauman dan agama sempit PN amat manis apabila kesemua Daerah Mengundi mencatat pertambahan sokongan kepada PH.
Malah sokongan penjawat awam dalam undi awal juga meningkat membanggakan, PH mendapat 592 undi pada PRK berbanding 146 Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos 2023. PN pula mengalami kemerosotan iaitu mendapat 156 undi pada PRK berbanding 530 pada PRN lalu.
Comments