Oleh: Abdullah Zaid
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kemenangan Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan amat penting untuk menetapkan hala tuju negeri itu dengan lebih jelas.
Hal ini kerana katanya, kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri amat penting untuk memajukan negeri Serambi Mekah itu disamping kebajikan rakyat di negeri itu terus terbela.
"Inilah masanya untuk rakyat perlu bangkit, percaya dan yakin dengan hasil kerja yang dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan.
"Saya minta orang Kelantan faham, tolong selamatkan Kelantan dan Malaysia, kerana ini adalah peluang kita sebab kita fikir nasib Melayu, jaga rakyat desa dan miskin bandar serta pembangunan di negeri ini," katanya.
Anwar Ibrahim berkata demikian, ketika berucap pada Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan di Kelantan dekat Bukit Tiu malam tadi yang turut dihadiri Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Mengenai kerjasama Kerajaan Perpaduan, kata Anwar, rakyat tidak perlu sangsi. Terutama Kerjasama antara KEADILAN, Amanah dan UMNO, katanya.
Malah Anwar berkata, beliau mempercayai timbalannya Zahid untuk mempengerusikan mesyuarat yang sepatutnya beliau pengerusikan dalam kerajaan.
"Saya tak pertikai langsung, banyak majlis yang dulu PM pengerusikan, saya kata tak apa Zahid kamu pengerusikan. Ini tahap kepercayaan saya kepada Presiden UMNO.
"Ini berbeza dengan pengkhianat, dalam KEADILAN ada beberapa ekor pengkhianat dan dalam UMNO pun ada.
"Ingatkan mereka, jangan anggap, 'Kami ini bersih, suci,' saya ingatkan jangan lebih sangat.
"Dulu Zahid kata Anwar ini baik sangat, ok semua. Dahulu ok, kamu nak cah keting (bentis), mu ingat aku boleh cah keting.
"Tetapi yang penting selamatkan negara ini. Tolong selamatkan Kelantan dan selamatkan negara.
"Kalau pimpinan kerjanya bersih, molek boleh selamatkan negara. Tetapi kalau masa ada kuasa dulu curi banyak, kaya raya, dah jatuh 'hidup Melayu'. Tak pakai. Janganlah tertipu," katanya lagi.
Selain Kelantan, lima buah negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah dan Terengganu turut sama menganjurkan PRN yang bakal diadakan pada 12 Ogos ini.
Comentarios