Oleh: Akmal Manaf
Kemenangan bekas Perdana Menteri Najib Razak dalam rayuan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Rayuan Isnin lalu bukanlah bermakna kerajaan perlu mengikut Titah Adendum Diraja sebagaimanan pemahanan segelintir pihak.
Menurut Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse, selepas kemenangan kelmarin Najib masih perlu melalui proses di Mahkamah Tinggi mengesahkan titah adendum tersebut dan seterusnya apakah beliau dibenarkan untuk menjalani tahanan di rumah sebagaimana titah tersebut.
Oleh itu, katanya, sesiapa pun tidak perlu mendesak kerajaan melaksanakan titah berkenaan kerana terdapat beberapa peringkat mahkamah yang perlu dilalui.
"Semalam (kelmarin) sudah dapat kebenaran.. (Najib berjaya dapat kebenaran mulakan prosiding semakan kehakiman).. jadi apa langkah seterusnya?
"Maknanya bila dapat kebenaran, kes ini akan pergi ke kes pendengaran substantif (pengesahan titah adendum dan apa perlu dibuat kerajaan).
"Sama ada ketika di peringkat itu kes tersebut akan berjaya atau tidak.. itu akan diputuskan bila ada pendengaran substantif," katanya dalam satu video yang dimuat naik di Facebooknya.
Jimmy Puah yang juga seorang peguam menjelaskan apa yang diperolehi Najib pada Isnin lalu adalah kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman kerana tanpa kebenaran itu Mahkamah tidak boleh bersidang mendengar kes tersebut.
"Yang penting 'kebenaran'... itu sahaja.. sebab untuk apa-apa kes di mahkamah kehakiman, ianya ada dua peringkat..
"Pertama, ia kena mendapat kebenaran dahulu.. mungkin (ada) yang tanya kenapa nak kebenaran? Sebab kes ini melibatkan kerajaan..
"Kalau kita tidak ada satu tapisan untuk kebenaran, maka semua orang dalam Malaysia mungkin akan mengambil tindakan yang remeh terhadap kerajaan.
"Maka kerajaan akan habiskan banyak masa untuk cuba membela kes. Maka undang-undang di Malaysia, apabila sampai semakan kehakiman, ia ada keperluan untuk kebenaran terlebih dahulu," jelas beliau lagi.
Comments