Asas perjuangan reformasi yang dilihat mulai ‘kendur’ perlu diperkasa dalam kerangka Malaysia MADANI yang menjadi tonggak Kerajaan Perpaduan hari ini.
Menyentuh tema perjuangan itu, Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Wilayah Persekutuan, Andre Lai Chen Heng mahu semua anggota KEADILAN kembali kepada ideologi asal perjuangan parti, apatah lagi pada waktu berada di tampuk kuasa.
Beliau mengungkapkan demikian dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) KEADILAN Lembah Pantai semalam.
"Cabang ini cabang ‘legend’ (lagenda) kerana Nurul Izzah (Anwar) menewaskan gergasi UMNO dan legasi itu diteruskan oleh YB Fahmi (Fadzil).
"Saya difahamkan tempat ini melahirkan ramai penggerak awal reformasi yang menjadi asas kepada kejayaan KEADILAN pada hari ini.
"Saya tidak berada di Hotel Renaissance pada 4 April 1999. Tetapi saya cukup lama berada dalam parti untuk melihat KEADILAN menjadi pembangkang dan kerajaan dua kali. Setiap kali kita tumpas, kita bangun lagi dan menjadi lebih kuat daripada sebelumnya.
"Ini kerana kita memegang kuat pedoman agenda reformasi yang dimulakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim," ujarnya.
Dalam pada itu Andre Lai mengingatkan, teriakan keramat 'reformasi' seharusnya kekal berkumandang dalam acara parti biar pun KEADILAN hari ini mengetuai pentadbiran dan presiden parti adalah ketua kerajaan.
"Hari ini kita ada Kerajaan Perpaduan, dengan slogan Malaysia MADANI kita laungkan setiap hari.
"Ramai tidak sedar asal-usul Malaysia MADANI datang daripada agenda reformasi.
"Saya tidak lagi mendengar ahli kita melaungkan reformasi. Malah di acara parti yang saya hadir sebelum ini, selepas menyanyikan lagu parti, terus senyap.
"Kalau dahulu kita boleh melihat kawan-kawan kita berlumba lumba siapa yang menjerit reformasi dahulu," ujarnya ketika merasmikan MATC KEADILAN Lembah Pantai yang dihadiri Ketua Cabang merangkap Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil di Pantai Dalam.
Mengulas lanjut, Andre Lai melihat kurangnya semangat dalam kalangan anggota parti itu perlu diperbaiki.
Katanya, semangat reformasi perlu kekal berada di dada anak anak muda KEADILAN yang tidak menyaksikan generasi terdahulu berjuang melawan penyelewengan, dikasari dan diganasi dalam perhimpunan aman.
"Saya menyeru kepada semua, di sebalik Malaysia MADANI, jangan lupakan perjuangan reformasi. Saya dan Pengerusi MPN Wilayah (Datuk Azman Abidin) sependapat. Saya dan YB Fahmi, saya percaya kami juga sependapat.
"Reformasi adalah asas perjuangan kita selama 25 tahun penubuhan parti. Maka dengan Datuk Seri Anwar yang menjadi Perdana Menteri kali ini, kita harus menolong beliau untuk merealisasikan 'institutional reform’.
"Kerajaan yang ditinggalkan kepada kita tidak berada dalam keadaan yang baik. Masa depan sentiasa mencabar, dan kita tidak akan ada satu KEADILAN yang kalis masa hadapan sekiranya kita lupa asas perjuangan kita," katanya.
Andre Lai yang juga Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju itu menegaskan, dengan semangat kental anggota parti akan sentiasa tabah berdepan cabaran, jatuh bangun perjuangan dan mampu bangkit semula.
"Hidup ini sekali. Hidup biar berjasa.
"Inilah kata-kata YB Nurul Izzah di MATC Bandar Tun Razak semalam. Selagi kita hidup kita harus buat yang terbaik untuk negara. Dan hanya dengan KEADILAN dan PMX, Malaysia akan berada di dalam landasan yang baik," katanya tegas.
Andre Lai menyeru agar anggota parti terus menyemai semangat reformasi untuk menghadapi pilihanraya akan datang dan memastikan Anwar kekal sebagai Perdana Menteri bagi memimpin negara untuk penggal kedua.
Comments