Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) mendakwa negeri Kelantan ditadbir Pas sebagai negeri paling teruk mengurus hutan di Semenanjung.
Pengerusinya, Hafizudin Nasarudin dipetik laporan media menyelar kerajaan negeri yang meluluskan 54 projek penerokaan hutan dianggarkan seluas 13,000 hektar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, sejak dua tahun lalu seperti didedah baru-baru ini.
"Jika dahulu di Gua Musang pembalakan dilakukan secara terpilih namun sekarang pembalakan dibuat secara tebang habis sama ada pembukaan ladang baharu, lombong atau kuari.
"Kemusnahan hutan di Gua Musang termasuk Nenggiri amat dahsyat. Jika dilihat di Kuala Betis, beratus lori keluar masuk setiap hari.
"KUASA sangat kecewa dengan kerajaan negeri yang dianggap tidak pernah mendengar desakan NGO. Sudah tentu kami membantah sekeras-kerasnya kelulusan hutan berkenaan yang boleh menimbulkan banyak masalah pada masa akan datang," katanya.
Hafizudin turut memberitahu, badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar itu sudah bekerja lebih 10 tahun di daerah berkenaan.
Justeru pendedahan oleh Timbalan Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Barisan Nasional (BN), Mohd Syahbuddin Hashim Selasa lalu bukan perkara yang mengejutkan.
Mengulas lanjut, Hafizudin berkata masalah kemusnahan hutan di Gua Musang semakin membahayakan dan sudah membabitkan nyawa penduduk.
"Berapa ramai penduduk mati disebabkan dibaham harimau... pada masa sama penduduk berdepan ancaman gajah disebabkan habitat mereka semakin sempit.
"Banyak kesan berlaku sekiranya dilakukan tebang habis termasuk sungai tercemar, tanah runtuh dan berlaku banjir lumpur," katanya dipetik.
Comments