top of page

Kekeliruan Presiden Pas Berkenaan Parti Politik Islam

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 3 min read


Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil


ULASAN: Presiden Pas, Tan Sri Datuk Seri Hj Abdul Hadi Awang dalam penulisan terbarunya mendakwa bahawa masyarakat di Malaysia telah khilaf dari segi pemikiran dalam memahami ciri-ciri parti politik Islam. Beliau dalam penulisan tersebut memahami bahawa ciri-ciri parti politik Islam dalam konteks Malaysia sebagai pengikut yang setia kepada Allah SWT dan Rasul SAW (mengasihi Allah dan Rasul) dengan mengikuti al-Quran dan al-Sunnah berserta para ulama yang menerima dan mewarisi pusakanya, iaitu Islam yang sempurna (al-din).


Definisi tersebut secara umumnya boleh diterima kerana ia tidak mengikat mana-mana parti politik Islam pada istilah atau nama, definisi yang diberikan oleh Hj Hadi mengikat parti politik Islam pada penerimaan terhadap Islam yang sempurna. Namun huraian Hj Hadi yang hanya meletakkan Pas sebagai parti politik Islam di Malaysia kerana mempunyai keinginan untuk melaksanakan syariat secara menyeluruh dan tegas perlu diperbetulkan.


Islam progresif laksanakan syariat


Hj Hadi berhujah bahawa wujud parti politik Islam di Malaysia yang menggunakan istilah progresif sebenarnya cuba mengelak perlaksanaan syariat Islam yang sempurna. Seharusnya Hj Hadi menyedari bahawa setiap parti politik yang menjunjung kedudukan Islam di Malaysia tidak pernah menolak perlaksanaan syariat yang sempurna, namun perlaksanaan syariat tersebut perlu sesuai dengan keadaan dan waktunya.

Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil

Perlaksanaan syariat Islam di Malaysia perlu dilakukan secara berperingkat dan mengikut kepentingan awam. Perkara ini telah dibahaskan oleh Prof. Datuk Dr Siddiq Fadzil bahawa perlaksanaan syariat Islam di Malaysia perlu mengambil kira pengaktualisasian maslahah yang inklusif. Perlaksanaan syariat Islam tidak hanya melibatkan masyarakat Melayu-Islam, justeru perlaksanaan agenda tersebut perlu dilakukan secara berhati-hati kerana ia turut memberi impak kepada masyarakat bukan Islam.


Melaksanakan syariat Islam di Malaysia secara berperingkat dengan mengikut kepentingan awam tidak bermakna sesebuah parti politik cuba untuk mengelak perlaksanaan syariat Islam yang sempurna.


Langkah progresif tersebut adalah cubaan untuk menjaga nama baik Islam dari gambaran tidak kondusif seperti persepsi yang terpalit kepada pentadbiran Taliban, ISIS dan Bokoharam. Perlaksanaan syariat Islam secara tergesa-gesa seperti yang berlaku di Libya, Sudan, Negeria dan Pakistan telah memberikan mesej salah bahawa syariat Islam tidak sesuai dengan masyarakat pada masa kini.


Justeru hujah Hj Hadi bahawa parti politik Islam harus tegas dan berani melaksanakan syariat Islam secara menyeluruh dan sepenuhnya perlu ditolak dalam konteks Malaysia. Langkah progresif dengan meletakkan pelaksanaan syariat Islam secara berperingkat dan mengikut kepentingan awam adalah langkah terbaik untuk waktu kini dan sejajar dengan maqasid syariah.


Kerajaan Perpaduan laksana agenda Islam


Seharusnya landasan yang telah digariskan Dr. Siddiq Fadzil digunakan untuk menilai ciri-ciri parti politik Islam. Buku ‘Minda Melayu Baharu’ yang ditulis oleh Dr. Siddiq Fadzil telah menggariskan ciri-ciri politik Melayu-Islam yang menjadi panduan sejak zaman pra-kemerdekaan.


Dr Siddiq Fadzil tidak meletakkan ciri-ciri parti politik Islam pada istilah atau nama namun ia diletakkan atas tiga prinsip utama iaitu: i. Patriostisme dan Nasionalisme; ii) Penolakan Asabiyah dan; iii) Ketaatan kepada Raja yang Adil. Selagi mana-mana parti politik mengikat diri mereka dengan ciri-ciri yang telah digariskan oleh Dr Siddiq Fadzil, maka parti politik berkenaan boleh dianggap sebagai parti politik Islam dalam konteks Malaysia (walaupun tiada istilah Islam pada nama parti politik berkenaan).


Sesungguhnya cubaan Hj Hadi untuk mengkategorikan parti politik sebagai Islam atau bukan Islam adalah usaha yang tidak bermakna, perkara yang lebih penting adalah untuk melaksanakan syariat Islam dalam keadaan ia diterima baik oleh segenap lapisan masyarakat.


Perkara ini telah dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan dalam kadar yang termampu, sudah pasti ada kekurangan dalam perlaksanaan agenda tersebut namun ia lebih baik ketimbang pandangan Hj Hadi yang mahu perlaksanaan syariat Islam di Malaysia secara menyeluruh dan tegas tanpa pertimbangan maqasid syariah.


Penolakan terhadap pandangan Hj Hadi turut dipersetujui oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man melalui hujah bahawa perlaksanaan syariat Islam di Malaysia perlu dilakukan secara berperingkat dengan mengambil kira isu prosedur dan mekanisme perundangan.


 

Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan Selangor

Comentarios


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page