Oleh: Andre Lai Chen Heng
ULASAN: Tahun ini, kita memperingati 67 tahun kemerdekaan Malaysia. Sebuah perjalanan yang panjang dan penuh dengan cabaran, namun kita telah membuktikan bahwa semangat merdeka itu tidak pernah luntur dalam jiwa rakyat Malaysia.
Berpandukan aspirasi oleh YAB Dato Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia yang mempertengahkan konsep Malaysia Madani, yang memberi memfokuskan kepada keharmonian masyarakat majmuk, pembangunan mampan dan tadbir urus baik.
Tema tahun ini, Jiwa Merdeka membawa banyak erti mendalam. Kemerdekaan bukan sekadar membebaskan diri dari penjajahan, tetapi juga membebaskan pemikiran dari segala bentuk belenggu yang menghalang kemajuan. Jiwa Merdeka adalah tentang keberanian untuk berdiri teguh, keazaman untuk melangkah pasti, dan kebijaksanaan untuk memilih jalan yang terbaik bagi masa depan kita.
Semangat Jiwa Merdeka
Kita harus terus memupuk semangat Jiwa Merdeka dalam setiap aspek kehidupan kita. Dalam pendidikan, kita harus mendidik anak-anak kita untuk menjadi pemikir yang bebas dan kreatif. Dalam ekonomi, kita harus berusaha untuk menjadi lebih inovatif dan kompetitif di peringkat global. Dalam sosial, kita harus memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian antara pelbagai kaum dan agama.
Jiwa Merdeka juga bermakna memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan. Kita harus bersama-sama menentang segala bentuk diskriminasi dan ketidakadilan. Setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang, berhak untuk hidup dengan maruah dan mendapat peluang yang sama rata untuk berjaya.
Malaysia telah melalui liku-liku perjalanan yang sukar selama ini, namun Malaysia tetap boleh mengharungi semua cabaran. Malaysia hari ini diberkati dengan sebuah kerajaan perpaduan Malaysia Madani yang kukuh. Saban hari, satu per satu halangan telah ditempuhi. Nilai Ringgit Malaysia yang semakin kukuh, perkembangan ekonomi yang positif, jeritan isu 3R dinoktahkan - kesemua berita baik baru-baru ini yang telah menunjukkan Malaysia berada di dalam landasan yang baik di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hormati nilai kemerdekaan
Di hari yang mulia ini, marilah kita berjanji untuk terus memelihara dan menghormati nilai-nilai kemerdekaan yang telah kita warisi. Moyang kita telah memilih tanah bertuah ini sebagai rumah, maka haruslah kami mempertahankan tanah air daripada anasir-anasir luar. Marilah kita bersatu padu, berganding bahu, untuk membawa perubahan reformasi demi membina Malaysia yang lebih makmur, adil, dan berdaulat.
Semoga semangat Jiwa Merdeka akan terus berkobar dalam diri setiap rakyat Malaysia. Semoga kita akan terus maju dan berjaya dalam setiap usaha dan cabaran yang akan datang. Selamat Hari Kebangsaan yang ke-67, Malaysia. Kami semua satu keluarga. Merdeka! Merdeka! Merdeka!
______________________________________________________________________________
Penulis merupakan Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan dan Ketua Cabang Wangsa Maju
Comments