
Kejayaan Wanita KEADILAN Sarawak menghidupkan sayap parti di negeri itu menunjukkan rakyat di peringkat akar umbi memberikan keyakinan kepada parti pemerintah yang telah menjaga kesejahteraan mereka.
Penasihat Majlis Pimpinan KEADILAN Sarawak, Datuk Seri Hafsah Harun berkata, kejayaan itu menjadi bukti bahawa sayap wanita mampu menggerakkan inisiatif Kerajaan Negeri dan Persekutuan dengan berkesan.
"Pencapaian Wanita KEADILAN Sarawak yang cemerlang menyakinkan akar umbi Sarawak bahawa parti pemerintah ini mengambil serius dalam menjaga kesejahteraan rakyat dengan memantapkan struktur sayap wanita parti yang merupakan penggerak komuniti utama," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas pengumuman Setiausaha Wanita KEADILAN Pusat, Loh Ker Chean pada 7 Mac lalu mengenai pencapaian cemerlang sayap wanita negeri itu melonjakkan jumlah Wanita Cabang yang aktif daripada lima kepada 21.
Hafsah berkata jalinan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri menjadi lebih erat, kukuh dan stabil, khususnya dari segi pendidikan.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Fadhlina Sidek Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Loh Ker Chean dan Victoria Musa, Ketua Wanita Negeri Sarawak kerana berjaya menghidupkan semula Wanita KEADILAN Sarawak," katanya.
Hafsah berkata, kesungguhan Fadhlina sebagai Menteri Pendidikan terzahir menerusi kekerapan beliau turun padang ke Sarawak bagi memantau tahap kemajuan projek pembinaan semula bangunan daif sekolah dan perbincangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Saya percaya momentum ini harus diteruskan supaya seluruh rakyat negeri Sarawak menerima manfaat daripadanya," ujarnya.
Comentários