Kejar untung, hospital swasta tidak wajar jadi alat perdagangan - Sim Tze Tzin
- Suara Keadilan
- Mar 4
- 2 min read

Malaysia dicadangkan mencontohi Korea Selatan yang menetapkan hospital di negara itu tidak boleh disenarai di bursa saham.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, hospital swasta di negara ini dilihat beroperasi dengan lebih kepada berorientasikan keuntungan, sekali gus menjadi punca mereka mengenakan caj tinggi untuk perkhidmatan kepada pesakit.
"Kenapa caj hospital begitu mahal... puncanya kerana hospital swasta ini (beroperasi) untuk profit dan disenarai dalam Bursa Malaysia menyebabkan setiap tiga bulan mereka kena laporkan keuntungan.
"Itu sebabnya mereka perlu mendapatkan keuntungan tinggi, naik harga itu dan harga ini... kita harus faham ini adalah satu situasi yang tidak sihat, hospital sepatutnya menyelamatkan nyawa dan bukannya dijadikan alat perdagangan," katanya dipetik di Dewan Rakyat pada Isnin.
Tze Tzin sebelumnya membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2024) 2025 yang kemudian diluluskan di Dewan Rakyat.
Menyentuh harga tinggi caj rawatan tidak terkawal dikenakan hospital swasta, beliau berkata hanya 30 peratus daripada bil hospital dikawal di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) manakala selebihnya iaitu 70 peratus lagi yang membabitkan bekalan dan perkhidmatan disediakan hospital tidak dikawal langsung.
Sehubungan itu beliau menggesa satu langkah kawalan diambil pihak berkuasa terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk menggunakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) untuk mengatasi isu caj tinggi dan tidak dikawal dikenakan hospital swasta.
"Pelitup muka sekarang satu kotak RM5 ada 50 keping, tetapi hospital swasta caj RM2 setiap satu, menyaksikan peningkatan sehingga 2,000 peratus.
"Sarung tangan surgikal pula satu kotak ada 100 unit hanya dijual RM10, tetapi di hospital caj satu pasang RM20 sedangkan Malaysia pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia.
"Menteri KPDN perlu guna Akta 723... kita bukan nak 'stranggulate' (mencekik), tetapi nak 'regulate' (kawal selia)... kalau caj RM1 atau 50 sen ok lah, tetapi takkanlah sampai RM20 (untuk sepasang sarung tangan getah). Ini bagi saya 'excessive profiteering' (ambil untung secara berlebihan)," katanya.
Comments