
Oleh: Azuan Ab Rahman
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengambil perhatian atas titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah agar usaha memperkukuh akidah dan iman umat Islam di Malaysia dipergiat.
Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menerusi satu kenyataan pada Ahad berkata, agensi-agensi di bawahnya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama Islam dalam memperhebat usaha itu.
"Titah DYMM Sultan Selangor agar umat Islam sentiasa berusaha untuk terus memperkukuh akidah dan iman akan dilaksanakan segera oleh agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
"Ia termasuk TV Alhijrah dengan kerjasama pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri bagi memperhebatkan usaha dakwah kefahaman Islam dan pengukuhan akidah kepada umat Islam," katanya.
Sultan Sharafuddin pada Sabtu menzahirkan pendirian tegas tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan garis panduan kepada umat Islam dalam menghadiri majlis perayaan orang bukan Islam.
Selaku Ketua Agama Islam di Selangor, baginda berpandangan cadangan garis panduan itu dibuat pada waktu yang tidak bersesuaian iaitu ketika rakyat sedang giat mengeratkan amalan muhibah pelbagai kaum dan agama demi mengukuhkan perpaduan nasional.
Baginda menasihati umat Islam khususnya di Selangor agar sentiasa berusaha memperkukuh akidah dan iman masing-masing serta mengingatkan setiap rakyat supaya menghormati dan memperakui bahawa Islam adalah agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan
Sementara itu Mohd Na'im menerusi kenyataan sama memaklumkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diarahkan untuk aktif bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara untuk menganjurkan program Dialog Harmoni yang mempromosikan perpaduan dalam negara.
"Platform Mesyuarat Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama akan digunakan untuk memperkukuh keharmonian dan interaksi antara umat Islam dan masyarakat bukan Islam," katanya lagi.
Comments