Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mahu kerajaan mempertahankan sekukuhnya kedaulatan negara dan jangan membiarkan seinci pun bumi Malaysia diserahkan kepada pihak luar.
Hal itu terkandung dalam Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen Kelima Belas di Dewan Rakyat pagi tadi.
Titah baginda, dalam memastikan kedaulatan negara dipertahankan kerajaan disarankan bijaksana dalam mengambil tindakan diplomatik menghadapi negara negara jiran.
"Kerajaan juga perlu bijak dalam mengekalkan hubungan diplomatik dengan semua pihak dan meningkatkan kerjasama strategik dalam menangani isu-isu serantau dan sempadan negara.
"Tindakan tegas melalui saluran diplomatik, undang undang dan pertahanan perlu diambil bagi memastikan hak kedaulatan serta kepentingan negara terus kekal terpelihara walaupun hanya seketul batu karang di tengah lautan," titahnya.
Seri Paduka Baginda turut bertitah bahawa Malaysia perlu kekal tegas mendukung prinsip keamanan, menentang keganasan dan penindasan.
Selain itu, selaras dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini Yang di-Pertuan Agong bertitah supaya negara ini menunjukkan keupayaan dalam memimpin dan menentukan hala tuju rantau Asia Tenggara.
Commentaires