Kedaulatan negara cakupi soal moral, sosial rakyat - Dr Mujahid
- Suara Keadilan
- 4 hours ago
- 1 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Kedaulatan negara bukan bersifat geografi atau politik semata-mata malah turut mencakupi aspek moral, intelektual dan sosial rakyatnya, demikian menurut Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Dr Mujahid Yusuf Rawa.
Beliau berkata perkara itu menuntut kepada pembentukan rakyat yang berjiwa besar, menjunjung Perlembagaan, memahami kontrak sosial, serta menolak budaya politik sempit dan ekstrem.
"Saya menekankan kepentingan memelihara keharmonian masyarakat majmuk Malaysia melalui pendekatan Malaysia Madani yang berteraskan nilai ihsan, adab, keadilan dan perpaduan.
"Hanya dengan asas inilah negara bangsa dapat dibina dengan kukuh dan berdaya tahan," katanya dalam hantaran di Facebook mengulas mengenai ucapannya pada program Wacana Minda: Kedaulatan Asas Pembinaan Negara Bangsa di kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tapah, Perak hari ini.
Wacana itu merupakan anjuran bersama Akademi Kenegaraan Malaysia, UiTM dan Sekretariat Perpaduan Ulul Albab Siswa Malaysia.
Turut menjadi panelis ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Jamil Khir Baharom manakala Penasihat Sekretariat Media Perpaduan Datuk Dr Noor Azizan Abd Majid sebagai moderator.
Comments