Pembatalan permit persembahan pelawak terkenal Sharul Channa dalam persembahan seni di PJ Live Arts mengecewakan Ahli Parlimen (MP) Petaling Jaya.
Menurut Lee Chean Chung, pembatalan tersebut berikutan satu laporan polis tidak wajar berlaku memandangkan dakwaan yang ditujukan kepada pelawak berkenaan terkait kes video lamanya telah pun selesai beberapa tahun lalu.
"Saya kecewa kerana permit Sharul Channa, pelawak terkenal telah dibatalkan pada jam 11 (pagi) dan mengganggu pertunjukan komedi di PJ Live Arts.
"Pembatalan itu berdasarkan laporan polis yang dibuat pada video lama karyanya dari 2018, yang didakwa menyentuh isu 3R, walaupun pada hakikatnya video itu telah diluluskan oleh (lembaga) penapisan Malaysia, dan juga dipaparkan di Unifi TV ketika itu sebagai sebahagian daripada Komedi Berdiri Asia Tengah, Asia! #2.
"Lebih-lebih lagi, permit itu dibatalkan walaupun Cik Channa memberi jaminan bahawa rancangan terbarunya di sini tidak akan menyentuh isu 3R," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pembatalan seperti itu, tegas Chean Chung hanya akan membantutkan persembahan seni di Malaysia terutama di kota budaya seperti Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.
"Pembatalan memberi duluan (presedence) buruk bahawa persembahan seni boleh dibatalkan pada bila-bila masa sebelum pertunjukan jika laporan polis dibuat terhadap mereka.
"Ia juga bertentangan dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan ekonomi dan menjadikan Malaysia/Lembah Klang sebagai hab seni dan hiburan.
"Walaupun PN menggunakan taktik menakut nakutkan untuk menyekat ruang untuk pertukaran budaya dan agama, Kerajaan Perpaduan harus berdiri teguh untuk melindungi latar belakang unik pelbagai budaya dan keterbukaan yang menjadikan Malaysia seperti hari ini," katanya lagi.
Beliau berharap rakyat boleh melihat rasional dalam jenaka sekiranya mereka dibenarkan mempunyai deria jenaka.
Comments