
Kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyelesaikan isu pemindahan kuil dan pembinaan Masjid Madani di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur mendapat pujian.
Pengerusi Sekretariat Muafakat Agamawan Memperkasa Institusi Raja dan Rakyat (MAMPIR), Ghazali Daud @ Aki Li berkata, kebijaksanaan ditonjolkan itu merupakan cerminan nilai sebenar Islam sebagai agama yang membawa rahmat dan keharmonian.
Sehubungan itu MAMPIR mengucapkan penghargaan kepada Anwar dan menyifatkan usaha yang dilakukannya sebagai langkah tepat dalam memastikan isu yang berlarutan sekian lama itu diselesaikan secara adil dan berlandaskan perundangan.
"Kami berharap agar penyelesaian isu ini tidak dimanipulasi oleh pihak tertentu sebagai alasan atau sandaran bagi golongan yang cuba mengabaikan lunas undang-undang.
"Agama tidak mengajar pencerobohan ke atas hak orang lain," katanya dalam kenyataan.
Perdana Menteri pada Khamis telah merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Masjid MADANI di Jalan Munshi Abdullah.
Hal itu dilakukan selepas isu tapak penempatan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di atas tanah milik swasta yang menjadi kontroversi sebelum ini berjaya diselesaikan secara harmoni hasil perbincangan yang diadakan.
Sementara itu Ghazali berkata, Sekretariat MAMPIR berharap agar kerajaan memberi perhatian wajar kepada kes lain yang berdepan situasi serupa bagi mengelakkan kerajaan dilabel sebagai mengamalkan pendirian dwistandard.
Pihaknya juga berharap kabinet mengambil langkah segera menoktahkan dakwaan segelintir pihak yang masih menganggap wujud diskriminasi terhadap amalan agama selain Islam di negara ini.
"Kami sebagai rakyat marhaen yang cintakan keharmonian dan kedamaian berharap agar segala isu berkaitan dapat diselesaikan dengan adil dan berpaksikan keadilan diredai Allah SWT," katanya.
Comments