Pemerintahan negara berbilang kaum seperti Malaysia memerlukan pengalaman dan kesederhanaan untuk memastikan ketertiban berkekalan, tatakelola diutamakan dan ekonomi meningkat.
Menerusi perutusan Hari Raya Aidilfitri, Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, reformasi yang diperjuangkan pihaknya hanya boleh dipraktikkan dalam kerangka sederhana agar tidak berlaku kejutan budaya tetapi menjamin tadbir urus yang baik dilaksanakan.
"Perjuangan ini tentunya menuntut kesabaran dan kebijaksanaan kerana kenyataan dalam hidup dengan pelbagai pancaroba menuntut hikmah kebijaksanaan dalam tindakan yang kita lakukan.
"Perjuangan menuntut kesabaran dan perencanaan yang cermat mengimbangi seluruh aspek tatanegara dan kenegaraan. Kegopohan menjanjikan kegagalan," ujarnya.
Anwar mengingatkan kisah dan dialog Saidina Umar bin Abdul Aziz RA dengan anakandanya, Abdul Malik bin Umar tatkala beliau ditanya, “Wahai ayahandaku, mengapakah tidak engkau laksanakan hukum dengan segera?”
“Demi Allah, aku tidak kisah sekiranya seluruh dunia menentang kita. Demi perkara yang hak.”
Namun, Umar Abdul Aziz dengan segala hikmah dan kebijaksanaannya menasihati anakandanya, “Laa tak Jal ya bunayya! Janganlah gopoh wahai anakku. Sesungguhnya Allah Taala mencela arak dalam Al Qura sebanyak dua kali dan kali ketiga barulah mengharamkannya. Sesungguhnya aku bimbang jika aku melaksanakan kebenaran kepada manusia secara total keseluruhannya, nescaya rakyat akan menolak Islam secara keseluruhannya sehingga tercetusnya fitnah.”
Tegas beliau, dalam pentadbiran kerajaan hari ini pemimpin mesti menimba pengalaman dan kebijaksanaan tokoh negarawan silam supaya menghindar mudarat dan mengangkat serta mencipta manfaat.
"Kita tidak menuntut semata-mata perakuan dan kepujian, malah teguran dan kritikan yang membina juga amat diperlukan dalam negara. Negara kita harus memupuk nilai-nilai supaya karamah insaniah diperteguh.
"Semantalahan, negara yang kita warisi ini banyak yang perlu diperbaiki dan memaknai maksud peringkat tertinggi Ramadan.
"Dalam konteks yang sama, ingin saya tegaskan bahawa negara ini memerlukan kekuatan semua pihak. Semua wilayah, semua kaum dan melonjakkannya ke tahap yang terbaik dan bermaruah. Kita tidak boleh sisihkan malah memusuhi mana-mana kelompok majoriti atau minoriti mana-mana kaum atau agama atau kepercayaan atas apa alasan sekalipun," katanya.
Bagaimanapun dalam kesederhanaan berubah, kata Anwar, tidak boleh mana mana kaum meremehkan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan yang dijamin di bawah Perlembagaan.
Perlecehan, katanya, harus dihadapi dengan tegas dalam apa jua keadaan.
"Kerangka pembinaan bangsa ini tidak memberikan alasan untuk meremehkan kepentingan Islam sebagai agama Persekutuan, meningkatkan pelaksanaan syariah di negara kita. Malah kita harus tegas, pasti dan tidak kelihatan bertolak ansur dalam kesungguhan kita memupuk nilai dan membina negara yang bermaruah.
"Namun jangan kita anggap ini sebagai suatu sijil, peluang untuk meremehkan, menghina atau merosakkan kaedah budaya dan cara hidup orang lain. Inilah perimbangan, keseimbangan yang perlu dipertahankan dalam semangat kita di Malaysia merayakan Hari Raya Aidilfitri Mubarak ini.
"Seperkara yang kita harus terima, inilah satu Kepulauan Melayu khususnya di Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak di mana sambutan hari raya itu silaturrahim diucapkan dengan maaf zahir dan batin, tidak ada dalam tradisi Arab, tidak di tradisi Afrika, tidak di tradisi umat Islam yang lain. Namun tidak lari daripada tonggak mesej Islam itu sendiri; berjumpa dan bermaaflah. Kita semua lakukan kesalahan, kesilapan," katanya.
Anwar turut berpesan agar umat Islam Malaysia mengambil kesempatan sempena Aidilfitri kali ini untuk mengukuhkan ikatan silatur rahmi tanpa mengira fahaman atau ideologi politik.
"Akhirul kalam, kita doa supaya kita punya kekuatan yang cukup bina perpaduan, rancak pertumbuhan, kasih pada yang melarat, memperkasa rakyat dan menjelmakan kejayaan.
Malaysia mesti terus kuat dan makmur! Selamat Hari Raya Eid Mubarak kepada seluruh umat Islam dan kepada yang akan melakukan perjalanan ke kampung halaman, pandulah dengan cermat, paculkan sifat kasih kepada yang tersayang," katanya lagi.
Comments