Kebijaksanaan Anwar, kestabilan politik yakinkan pelabur Arab
- Suara Keadilan
- Jan 15
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kebijaksanaan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengekalkan kestabilan politik negara bukan sahaja dikagumi rakyat, malah pemimpin-pemimpin besar dari luar negara.
Hal itu susulan PM berjaya menarik minat Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi menambah pelaburan kumpulan itu ke Malaysia.
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Wilayah Persekutuan, Muhammad Azha Salahudin menyifatkan, kestabilan politik merupakan kunci utama meyakinkan pelabur untuk terus melabur di negara ini.
"Ini telah dibuktikan dengan pelaburan ke Malaysia yang diluluskan menunjukkan peningkatan sebanyak RM254.7 bilion pada tahun 2024 berbanding RM230.2 bilion pada tahun 2023.
"ADIA melalui Pengarah Urusannya (kelmarin) juga telah mengumumkan untuk memberi jaminan kepada Datuk Seri Anwar bagi membuat pelaburan besar di Malaysia dalam siri lawatan Anwar ke Abu Dhabi," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hubungan baik Anwar dengan negara Arab sejak beberapa dekad lalu dan kejayaan PM itu membawa masuk berbilion ringgit dana Arab ke negara ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Azha berkata, karisma dan kelantangan Anwar dalam memperjuangkan isu kemanusiaan serta penindasan terhadap umat Islam sejak zaman muda telah mengukuhkan lagi hubungannya dengan para pemimpin negara-negara rantau Timur Tengah.
Dalam pada itu semalam Anwar telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri UAE merangkap Pemerintah Dubai Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum.
Pertemuan itu untuk membincangkan perkongsian strategik antara kedua-dua negara selain isu-isu global.
Comments