Oleh: Abdullah Zaid
Kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan bahawa Indeks Kebebasan Media berada pada tahap terburuk berbanding kerajaan terdahulu adalah tidak tepat sama sekali.
Bagi Pengarah Komunikasi Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Haziq Azfar Ishak, kenyataan pemimpin Bersatu itu bersifat 'pilih bulu' dan cuba menafikan komitmen Kerajaan Perpaduan memperkukuhkan institusi media negara pada ketika ini.
"Pertikaian Wan Saiful bersifat cherry picking dengan mendiamkan komitmen-komitmen Kerajaan Perpaduan melalui pelaksanaan Kod Etika Kewartawanan, RUU Majlis Media Malaysia yang akan dibentang tidak lama lagi, yang jauh lebih baik berbanding dengan (kerajaan) sebelumnya," kata Haziq kepada Suara Keadilan.
Sebaliknya, kata Haziq, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu seharusnya mengakui bahawa isu membabitkan 3R (agama, bangsa dan institusi raja) kian membarah dan sememangnya memerlukan langkah pengawalan.
Kebebasan media, katanya, tidak wajar sehingga mengganggu gugat keharmonian rakyat berbilang kaum di negara ini.
"Peningkatan isu 3R sebanyak 123% pada suku pertama tahun ini seperti yang dilaporkan Kementerian Perpaduan Negara selain Laporan Pusat Kewartawanan Bebas (ICJ) terhadap kempen 'super perkauman' PN pada PRU15 lalu, memaksa kerajaan mengambil langkah tegas membendung perkara ini," ujar Haziq.
Untuk rekod, Wan Saiful dalam satu kenyataan mendakwa kebebasan bersuara era pentadbiran Perdana Menteri (PM) Najib Razak dilihat lebih baik berbanding PM Anwar Ibrahim susulan ketegasan Ahli Parlimen Tambun itu tidak mahu berkompromi isu membabitkan 3R.
Dakwanya, kenyataan pemimpin nombor satu negara itu dilihat cuba mengalihkan perhatian daripada isu ekonomi dan sosio-politik negara.
Dalam pada itu, Haziq menyeru pemimpin PN berkenaan agar tidak menyentuh isu 3R sebagai modal politik utama bagi menarik sokongan rakyat.
Katanya, jika Wan Saiful benar-benar mahu skor Indeks Kebebasan Media meningkat maka beliau perlu berusaha membantu kerajaan secara yang membina.
"Jika Wan Saiful mahu membantu Kerajaan membaiki skor ini, maka beliau dialu-alukan dengan memastikan politikus PN dan penyokongnya tidak memainkan isu perkauman dan 3R," ujarnya.
Comments