Kebebasan bersuara dalam politik Malaysia diamalkan oleh banyak pemimpin utama namun banyak juga yang kurang faham mengenai pendekatan politik dalam sesuatu isu.
Bagi Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Andre Lai Chen Heng, ungkapan kontroversi yang diluahkan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam podsiar (podcast) yang membabitkan beliau berkisah peristiwa malam Pilihan Raya Umum 2022 lalu perlu dilihat daripada sudut yang lebih matang.
Pada pendapat Andre Lai, podsiar sendiri mempunyai format santai dan hal berkenaan tidak seharusnya menimbulkan masalah untuk dikongsikan kepada umum.
"Saya meneliti fiasko klip podsiar yang hangat baru-baru ini memaparkan komen daripada Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
"Saya cuba melihat dari sudut yang berbeza. Politik di negara kita seringkali dipenuhi dengan pelbagai isu yang kompleks yang bertukar menjadi politik toksid.
"Pernah sekali, seorang rakan espatriat berbual berkenaan suhu politik di Malaysia yang agak lucu. Isu yang kecil, diperbesarkan. Isu yang besar pula dipadam terus
"(Jadi) saya tidak rasa Datuk Seri Shamsul bersalah apabila beliau menggunakan platform yang bersuai santai untuk memaparkan perasaan beliau semasa pilihanraya lepas. Mungkin kerana ia ditujukan kepada salah seorang pemimpin teratas, ia mencetuskan ketidaksenangan dan lebih-lebih lagi diheret ke ruang bersuara terbuka di media sosial," kata Andre Lai dalam kenyataan.
Menurut Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju itu, luahan ala-santai tidak seharusnya menjadi indikator Shamsul dikritik secara sinis dan terbuka oleh sesetengah pihak.
Katanya, hal yang perlu difokuskan ketika ini ialah Kerajaan Madani ditubuhkan atas muafakat antara komponen parti politik yang pernah berbenturan suatu ketika dahulu dan pilihanraya telah berlalu. Ke hadapan adalah waktu untuk bersatu padu menghadapi pilihan raya umum selanjutnya.
"Saya amat bersetuju, ahli-ahli politik bermusim dengan berbekalkan pengalaman yang ada, mereka seharusnya lebih bijak merangka hujah bernas demi kebaikan negara secara holisitik.
"Tetapi saya harus menekankan bahawa KEADILAN turut melalui proses menerima 'proses demokrasi' sebelum ini, dengan perasaan penuh pilu dan kekecewaan. Masing-masing kita telah melalui satu tempoh yang amat sukar untuk bersama mentadbir negara. 'Rome was not built in one day' - Ya ia akan mengambil masa, tetapi apa pun, kita telah menjadi serumpun
"KEADILAN mendukung pembaharuan reformasi sebagai asas penubuhan Malaysia Madani. Dengan Perdana Menteri yang juga Presiden KEADILAN, kami sedang diuji sejauh manakah kita boleh menyempurnakan persefahaman untuk bersama dalam Kerajaan Perpaduan," katanya lagi.
Justeru, Andre Lai menyeru agar isu remeh dilupakan dan pimpinan fokus kepada proses pemantapan pentadbiran negara.
Beliau berharap semua pihak dalam PH dan BN memberi tumpuan kepada kestabilan politik dan tidak lagi terikat memainkan sentimen politik kepartian.
Bình luận