Kebakaran paip gas: Polis diberi mandat siasat tanpa pilih kasih
- Suara Keadilan
- 3 days ago
- 2 min read

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memberi jaminan siasatan berhubung insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights akan dijalankan dengan telus.
Menerusi satu sidang media di Shah Alam pada Sabtu beliau menegaskan pendiriannya untuk tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terbukti melakukan salah laku berhubung insiden itu.
"Bagi saya, kita tidak ada apa-apa yang nak dilindungi. Kalau salah, kita akan perbetulkan. Kalau perlu tindakan, tindakan sah akan diambil.
"Saya memberikan amanah penuh kepada pasukan penyiasat yang diketuai Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan untuk bertindak tanpa memihak kepada mana-mana pihak kecuali kebenaran, 'without fear or favour' (tanpa rasa takut atau pilih kasih," katanya dipetik.
Sementara itu sebagai mengulas mengenai kenyataannya berkaitan dakwaan kerja pengorekan di lokasi insiden berkenaan yang didakwa bercanggah dengan kenyataan Hussein, beliau berkata, ia telah disalah fahamkan.
Tegasnya, menerusi perbincangan ringkas bersama Hussein sebagai ketua penyiasat, sememangnya mereka menjangkakan ada jengkaut yang terbenam di kawasan terbabit.
"Saya tengok ramai yang hentam saya di media sosial, kononnya saya nak lindungi pihak tertentu.
"Bila ramai yang cuba kelirukan orang ramai atau sengaja reka persepsi, saya terpaksa buka mulut.
"Tidak timbul isu saya cuba menafikan ada aktiviti ataupun melindungi sesiapa sebagaimana ada sesetengah pihak di laman sosial terutamanya yang mempertikaikan kedudukan dan posisi Menteri Besar dalam menilai isu ini," tambahnya.
Pada sidang media tersebut Amirudin turut memaklumkan, ketika ini pasukan audit daripada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sudah digerakkan ke Koridor Utiliti Selangor (KUSel) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya untuk melihat adakah proses kebenaran dan jajaran mengikut aturan yang ditetapkan.
Justeru beliau menggesa agar siasatan dibiarkan berjalan secara profesional dan bebas tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak serta tanpa spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.
"Saya minta beri ruang kepada pasukan penyiasat. Kita nak pastikan semuanya disiasat dengan adil dan telus. Kebenaran akan terbukti, tapi beri masa untuk proses itu lengkap," ujarnya
Comments