Kebakaran paip gas: Kerajaan Selangor tidak sembunyi maklumat
- Suara Keadilan
- Apr 9
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor tidak menyembunyikan sebarang maklumat berkaitan insiden kebakaran paip gas di Putra Height daripada orang awam.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim menegaskan, siasatan berhubung kejadian itu sedang giat dijalankan dan ketika ini tumpuan diberikan terhadap keselamatan di lokasi.
"Siasatan akan mengambil sedikit masa, kita nak teliti betul-betul punca sebenarnya dan nanti akan diumumkan apabila sudah dapat konklusif bukti, tiada apa yang hendak disembunyi," katanya dipetik dalam satu sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Putra Heights semalam.
Sementara itu beliau menepis persepsi di media sosial yang mendakwa berlaku kerja secara haram atau langgar SOP di kawasan kejadian.
Jelasnya, segala pelaksanaan kerja adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan diawasi oleh pihak berwajib termasuk kontraktor dilantik.
"Peringkat awalnya dari segi kelulusan permit semua tiada masalah, tiada isu.
"Semua dibuat dengan baik dan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) cumanya kita nak tahu punca ia berlaku.
"Saya minta semua bersabar menunggu hasil siasatan yang konklusif nanti," ujarnya lagi.
Dalam kejadian 1 April lalu, saluran gas Petronas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights terbakar dengan api menjulang setinggi lebih 30 meter.
Sebanyak 81 rumah disahkan musnah sepenuhnya dengan kerosakan pada struktur melebihi 40 peratus, 81 rumah separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar
Nilai kerugian dan kerosakan kediaman yang terlibat dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selasa lepas dianggarkan sebanyak RM65.4 juta.
Commentaires