Kebakaran paip gas: Jangan spekulasi, biar polis siasat tanpa gangguan
- Suara Keadilan
- 3 days ago
- 1 min read

Menteri Dalam Negeri (KDN) menasihati orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian kebakaran paip gas d Putra Heights, Subang Jaya yang berlaku pada Selasa lalu.
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sebarang kenyataan tanpa asas yang disebarkan di media sosial atau mana-mana platform lain boleh mengganggu siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.
"Siasatan sedang berjalan dan saya diberi taklimat terkini dari semasa ke semasa oleh pasukan polis.
"Biarlah mereka lengkapkan siasatan dengan teliti termasuk usaha mengumpul bukti yang memerlukan disiplin siasatan yang baik.
"Semua pihak diseru untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan, spekulasi atau apa-apa andaian," katanya dipetik.
Saifuddin ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Daerah Kubang Pasu di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, di Jitra pada Ahad.
Mengulas lanjut, Saifuddin memaklumkan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah turun padang bagi membantu penduduk yang terjejas.
JPN setakat semalam dilapor telah memproses lebih 400 dokumen gantian pengenalan diri yang rosak atau musnah ekoran kejadian itu menerusi perkhidmatan Kaunter Bergerak MEKAR yang disediakan di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Height.
"Setiap agensi akan membantu berdasarkan bidang tugas masing-masing dan ketika ini, proses mengumpul maklumat masih dijalankan bagi melancarkan urusan berkaitan penduduk terlibat," tambah Saifuddin.
Comments