Kebakaran paip gas: Bantuan tunai disalurkan Isnin ini
- Suara Keadilan
- Apr 4
- 1 min read

Mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya dijangka akan mula menerima bantuan tunai yang diumumkan Perdana Menteri mulai Isnin ini.
Perkembangan itu dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri di Shah Alam pada Khamis.
"Bantuan tunai antara RM2,500 hingga RM5,000 kepada mangsa yang layak akan mula disalurkan seawal Isnin ini, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Penyampaian bantuan ini akan dilakukan secara berperingkat dan pengumuman lanjut akan dibuat dalam masa terdekat," katanya dipetik.
Sementara itu Amirudin memaklumkan, seramai 1,254 mangsa daripada 308 keluarga telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) susulan tragedi itu.
Daripada jumlah itu, 630 mangsa daripada 157 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) manakala 624 mangsa daripada 151 keluarga memilih untuk menetap di kediaman saudara atau rakan.
"Terdapat dua mangsa yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Ampang dan Hospital Kuala Lumpur akibat komplikasi pernafasan yang serius.
"Kami sedang memastikan segala bantuan dan keperluan mangsa dapat disalurkan dengan pantas dan sistematik," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan Amirudin juga memaklumkan, pihak berkuasa kini sedang memurnikan data jumlah sebenar penduduk di kawasan Taman Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru yang terkesan dengan kejadian itu.
Langkah itu bagai memastikan bantuan dapat disalurkan secara adil selain mengelakkan sebarang isu ketirisan atau penyalahgunaan bantuan.
Comments