
Oleh: Azuan Ab Rahman
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) diberi arahan supaya segera memperkemas jentera agensi Persekutuan dan negeri bagi menghadapi dan membantu mangsa banjir di Sabah dan Sarawak.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata, keutamaan ketika ini adalah kebajikan mangsa banjir serta keselamatan penduduk di kawasan yang terkesan.
"Berdukacita menerima perkhabaran situasi banjir yang semakin buruk di Sabah dan Sarawak. Saya zahirkan simpati pada ribuan saudara kita di sana yang terkesan dengan bencana ini," katanya.
Perdana Menteri turut mendoakan semua mangsa yang terkesan diberi kesabaran dan ketabahan sepanjang tempoh musibah ini melanda.
Sebanyak 10,647 orang daripada 3,190 keluarga telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka.
Mangsa di Sarawak adalah seramai 6,718. 49 PPS telah dibuka dan daerah Bintulu merekodkan jumlah mangsa teramai iaitu 1,888 orang.
Manakala 29 PPS dibuka di 10 daerah di Sabah dengan Kota Marudu menjadi daerah paling ramai mangsa banjir iaitu 2,355 orang.
Sementara itu menerusi hantaran sama Anwar berkata, Jabatan Pendudukan Negeri juga sudah diarah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas dapat menjalani peperiksaan dengan selamat dan kondusif.
Beliau berkata Skuad Ihsan MADANI akan turun dalam masa terdekat bagi membantu mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) serta siap siaga bagi penugasan pascabanjir.
"Moga semua mangsa yang terkesan diberi kesabaran dan ketabahan sepanjang tempoh musibah ini melanda," tambahnya.
Comments