Banjir besar yang melanda di beberapa negeri di Timur dan Utara Semenanjung Malaysia mendapat perhatian khusus pemimpin Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN yang bermesyuarat hari ini.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Fahmi Fadzil, parti itu merakamkan ucapan takziah kepada mangsa banjir yang amat memprihatinkan pada ketika ini.
Katanya, pimpinan KEADILAN turut membincangkan bantuan yang akan diberikan oleh parti serta para sukarelawan sewaktu dan pasca banjir.
"KEADILAN merakamkan ucapan takziah buat lebih 131,000 mangsa bencana banjir yang melanda 9 negeri setakat hari ini. Pimpinan bersetuju agar anggota Cabang-Cabang KEADILAN dikerah untuk segera membantu mangsa-mangsa banjir, termasuk untuk pembersihan pasca banjir kelak," katanya dalam kenyataan.
MPP juga, ujar Fahmi, membincangkan isu kes-kes buli di sekolah dan institusi pengajian tinggi yang semakin menggusarkan dan menarik perhatian mutakhir ini.
Katanya, KEADILAN mencadangkan agar beberapa perkara dasar diteliti segera termasuk kempen kesedaran buli dilaksana secara menyeluruh.
Dalam pada itu, MPP turut membuat keputusan penting untuk menangguhkan Kongres Tahunan KEADILAN 2024 yang dijadulakn di Johor pada 15 Disember ini.
"Menyedari isu banjir dijangka berterusan, pimpinan telah memutuskan bahawa Kongres Nasional KEADILAN 2024 ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumum kemudian.
"Pada masa sama, satu Kongres Khas bagi meminda Perlembagaan parti akan diadakan secara hibrid pada tarikh yang akan diumum oleh Setiausaha Agung KEADILAN nanti," katanya.
Untuk rekod, selain Kelantan, Terengganu dan Kedah yang dilanda banjir besar negeri lain seperti Perak, Selangor, Johor, dan negeri Sembilan juga terkesan banjir dan akan menyukarkan pimpinan peringkat akar umbi atau cabang untuk menghadiri kongres.
コメント