Proses pencalonan dan pemilihan pimpinan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan dilangsungkan mulai Mac hingga Mei 2025.
Menurut Setiausaha Agung KEADILAN, Dr Fuziah Salleh, Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang diadakan pada petang tadi telah bersetuju dan memutuskan proses pemilihan KEADILAN peringkat Cabang dan Pusat bagi sesi 2025-2028 akan dilaksanakan pada beberapa bulan akan datang.
"Majlis Pimpinan Pusat telah bermesyuarat hari ini dan meneliti beberapa cadangan dari Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) berkait proses pemilihan KEADILAN Cabang dan Pusat bagi sesi 2025-2028," katanya dalam kenyataan.
Menurut kenyataan itu, beberapa tarikh penting telah diputuskan seperti pencalonan jawatan-jawatan Ahli Jawatankuasa Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda Cabang akan diadakan pada 14 - 16 Mac 2025.
Pemilihan Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda Cabang pula dilaksanakan pada 11- 20 April 2025.
Pencalonan jawatan-jawatan Majlis Pimpinan Pusat, Wanita Pusat dan Angkatan Muda pusat diadakan pada 3 - 4 Mei 2025.
Manakala pemilihan Pusat, Wanita Pusat dan Angkatan Muda pusat dilaksanakan pada 24 Mei 2025.
"MPP juga telah diberi taklimat proses pemutihan keanggotaan KEADILAN yang sedang berjalan, manakala MPP juga di maklumkan berkenaan proses pengesahan keanggotaan, pendaftaran mengundi untuk Pemilihan 2025 serta sistem pembayaran bagi yuran keanggotaan akan di mulakan pada 1 Februari dan berakhir 16 Mac 2025 yang akan diurus kendali oleh Pejabat Setiausaha Agung KEADILAN," katanya.
Untuk rekod, pemilihan kali ini akan menggunakan sistem baharu di peringkat Wanita Pusat, AMK Pusat, Naib Presiden dan MPP menggunakan sistem perwakilan yang dilantik dari Cabang.
Sementara pemilihan peringkat Cabang masih lagi menggunakan kaedah lama, satu anggota satu undi.
Comentarios