KEADILAN Sarawak tonjol bakat baharu kepimpinan bangunkan wilayah
- Suara Keadilan
- Feb 25
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
KEADILAN Sarawak sentiasa terbuka menerima bakat-bakat baharu kepimpinan untuk diserapkan ke 31 Cabang di seluruh di negeri tersebut, kata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN negeri, Roland Engan.
Roland berkata, dengan pertambahan jumlah ahli, parti itu akan mempunyai ramai bakat baharu bagi membuat inisiatif kerjasama dan kesedaran rakyat dengan lebih efektif untuk melawan rasuah, puak pelampau dan kegiatan haram bersama jabatan-jabatan kerajaan yang cukup tegas, berintegriti dan adil.
"Menyedari Wilayah Sarawak hanya dapat dibangunkan dengan adil oleh pemimpin-pemimpin yang bersih, adil, berani, mesra dan konsisten dalam perjuangan, maka KEADILAN Sarawak sedang berusaha menonjolkan pemimpin-pemimpin sedemikian dalam parti dan mereka diketengahkan untuk meneruskan perjuangan keadilan untuk semua rakyat.
"Kami juga ingin menumpukan perhatian kepada urusan dalaman parti pada separuh pertama tahun 2025 khususnya mengemaskini keanggotaan parti, mengadakan mesyuarat agung tahunan dan mempermudahkan anggota parti untuk terlibat dalam proses pemilihan pada Mei 2025.
"Ini sangat penting kerana parti yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ini sangat diharapkan untuk memastikan program-program Malaysia MADANI benar-benar dirasai lapisan masyarakat di Sarawak," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara KEADILAN Sarawak sedang memberi tumpuan terhadap pengukuhan parti, Roland memaklumkan, pihaknya juga sentiasa meneruskan gerak kerja hakiki untuk menerima pandangan rakyat secara berterusan.
Ujarnya, mendengar dan menerima pandangan masyarakat adalah penting untuk menambah-baik perkhidmatan kerajaan kepada rakyat dan menerima pandangan akar untuk membangunkan Sarawak secara adil dan inklusif.
"Ini juga penting kerana parti ini sentiasa bergerak seiring dengan aspirasi rakyat Malaysia di Sarawak agar wilayah ini semakin maju dan makmur untuk manfaat semua rakyat.
"Susulan itu, setiap pengumuman penting tentang perkembangan parti dan perjuangan isu-isu rakyat akan terus dibuat oleh pimpinan KEADILAN Sarawak dari masa ke semasa dengan mengambil kira keutamaan kestabilan politik dan pemulihan ekonomi pasca Covid19.
"Parti ini juga tidak akan mengenepikan cadangan-cadangan berasaskan suara sebenar rakyat akar umbi yang praktikal dan bermanfaat," ujarnya lagi.
Comments