
Oleh: Akmal Manaf
Malaysia telah masuk ke era politik berasaskan kehendak rakyat yang kuat kerana mereka semakin bijak menggunakan hak sebagai pengundi.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sarawak, Roland Engan berkata, menteri dan wakil rakyat tidak lagi dilihat sebagai 'tuan'. Sebaliknya, kedua-dua golongan itu dilihat sebagai pemberi khidmat atau lebih tepat dalam bahasa Indonesia dipanggil 'pelayan'.
Konsep itulah, kata beliau yang diterapkan oleh KEADILAN Sarawak kepada rakyat.
''Perkhidmatan mereka adalah 'pelayanan'. Menteri itu 'pelayan'. Rakyat dilayan dengan cemerlang.
''Inilah konsep asasi yang semakin dilupakan setelah bertahun-tahun parti atau rejim yang sama menang pilihan raya.
''KEADILAN Sarawak sudah lama menanam benih-benih pelayanan profesional ini dalam parti. Inti segala profesionalisme adalah pengabdian kepada perjuangan parti tanpa takut dan pilih kasih.
''Kami juga melihat bahawa gelanggang politik amatur Sarawak sedang dinaiktaraf ke gelanggang politik profesional. KEADILAN Sarawak adalah parti politik profesional yang telah layak bertanding dalam gelanggang profesional,'' katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam pada itu, Roland berkata, jika politik profesional mulai diamalkan di Sarawak, maka tiada siapa akan menunjukkan keangkuhan dengan melarang mana-mana pihak untuk menawarkan diri bagi 'melayan' rakyat negeri itu selepas Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN13).
Menurut beliau lagi, rakyat Sarawak juga sememangnya tahu bahawa mereka mempunyai kuasa untuk memilih 'pelayan-pelayan' bagi tempoh lima tahun akan datang.
''Pelayan-pelayan ini bukan boss atau taukey. Rakyat yang pilih mereka untuk melayani Sarawak. Rakyat tidak suka pelayan-pelayan bertelingkah sesama sendiri, lupa diri, tugas dan kedudukan sebagai pelayan," ujarnya.
Lebih teruk lagi kata beliau, rakyat tidak boleh bertolak ansur dengan pelayan yang mempunyai sikap tidak amanah, curang dan sombong.
''Di sinilah pelayan-pelayan ini perlu bersikap profesional dengan tidak memihak kepada sentimen semata-mata tetapi berpihak kepada keadilan.
''Dengan amalan profesionalisme sedemikian, maka pelayan-pelayan itu boleh diharapkan oleh rakyat,'' ujarnya lagi.
Comments