Oleh: Abdullah Zaid
Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sarawak menyeru agar program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi Madani) Sarawak dibuka kepada semua komuniti tanpa mengira sama ada mereka telah berdaftar atau tidak dengan pejabat residen mahupun daerah.
Menurut pengerusi MPN Sarawak, Roland Engan, secara prinsip KEADILAN Sarawak sangat bersetuju dengan program penjanaan ekonomi untuk komuniti yang modalnya dibiayai kerajaan itu namun katanya, ketika ini program tersebut terhad kepada komuniti di Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) yang berdaftar sahaja.
"Di Sarawak, kita difahamkan melalui risalah taklimat yang diedarkan, komuniti yang layak memohon dana SejaTi Madani di Sarawak seolah-olah dihadkan kepada komuniti yang JKKK mereka berdaftar dengan pejabat residen atau pejabat daerah sahaja.
"Jika ini benar, maka komuniti rumah panjang dan persatuan penduduk akan dipinggirkan meskipun tersenarai sebagai komuniti yang layak memohon dana tersebut," katanya dalam satu kenyataan.
Untuk rekod, melalui Program SejaTi Madani kerajaan memperuntukkan sejumlah RM50,000ke RM100,000 kepada komuniti yang menyertai program tersebut.
Manakala, projek yang akan dijana pula ialah yang bersesuaian dengan skop projek ekonomi yang telah ditetapkan.
"Selain itu difahamkan RM50 juta diperuntukkan untuk komuniti-komuniti Sarawak.
"Kedua-dua perkara ini menimbulkan keresahan di kalangan komuniti yang belum mempunyai ketua kaum dan JKKK yang dilantik dengan rasmi," ujarnya lagi.
Jelas Roland, jika tiada perubahan pada syarat permohonan dana SejaTi Madani itu maka dijangkakan banyak komuniti di seluruh Sarawak secara automatik tidak akan layak.
"Oleh itu, KEADILAN Sarawak memohon pihak kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan untuk memperhalusi dan menambah baik syarat permohonan dana SejaTi Madani ini supaya semua komuniti (berdaftar atau tidak berdaftar) mendapat dana.
"Pihak Kerajaan Sarawak perlu membantu proses pendaftaran komuniti, Ketua Kaum dan JKKK dengan segera selain peruntukan RM50 juta untuk Sarawak ditambah supaya semua komuniti mendapat manfaat sama rata," ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, Roland memohon agar data komuniti seluruh Sarawak dikemaskini segera bagi memudahkan perlaksanaan program pengupayaan ekonomi seperti program SejaTi Madani.
Comments