
Parti Keadilan Sabah (KEADILAN) Sabah menentang keras usaha yang akan menyebabkan ketidakstabilan dan krisis politik baharu di negeri itu.
Setiausaha Majlis Pimpinannya, Sazalye Donol Abdullah berkata, justeru itu pihaknya menzahirkan sokongan dan memberikan kepercayaan terhadap Datuk Seri Hajiji Noor untuk terus memimpin Sabah.
"Kami berkeyakinan penuh dan percaya bahawa beliau boleh membawa Sabah ke arah yang lebih cemerlang, progresif, dihormati dan disegani.
"Kami juga sentiasa menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Hajiji sebagai Pimpinan Kerajaan Sabah Negeri Sabah kerana secara langsung telah menyumbang pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat iaitu kerajaan Madani," katanya dipetik.
Kenyataan itu sebagai mengulas pendirian parti itu berhubung kerjasama politik serta hala tuju negeri berkenaan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.
Sebagai rekod, pentadbiran Hajiji masih mempunyai tempoh sehingga Oktober 2025 untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada PRN.
PRN boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja sama ada sebelum atau sehingga tempoh tamat.
Sementara itu Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah Datuk Mustapha Sakmud pada satu sidang media di Kota Kinabalu semalam berkata, pihaknya enggan melayan sebarang spekulasi yang membawa gangguan kepada kestabilan politik.
"Kita memikirkan kestabilan dan kebajikan rakyat di negeri ini, jadi banyak spekulasi yang telah ditimbulkan pelbagai pihak.
"Cuma bagi kami, kami tidak mahu tergesa-gesa untuk membalas dengan cadangan atau spekulasi tersebut sebab kita kena praktikal," tegasnya.
תגובות