KEADILAN negeri Sabah akan menganjurkan program Himpunan Perdana Rakyat pada 4 Ogos ini
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata pelbagai acara antaranya sesi forum dan pidato bakal dianjurkan pada program di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di Kota Kinabalu itu.
Himpunan tersebut yang mensasarkan kehadiran 10,000 orang turut akan diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri yang juga Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Ini adalah antara misi KEADILAN untuk mengangkat semula parti ini yang didokong selama 25 tahun oleh rakyat Sabah.
"Kita akan menghimpunkan ahli, pendokong dan rakyat yang memahami serta percaya tentang gerakan reformasi ini. Kami mengalu-alukan kehadiran semua ke program ini.
"Amat istimewa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi komitmen untuk hadir bersama rakyat Sabah dan kita akan mengupas beberapa isu dekat di hati rakyat Sabah," katanya melalui satu sidang media.
Mustapha sementara itu berkata, seramai 10 pemidato terdiri daripada pemimpin KEADILAN Sabah akan menyampaikan pidato masing-masing antara lain mengenai masalah infrastruktur dan isu kemiskinan tegar di negeri itu, selain isu melibatkan pendidikan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Selain itu pihaknya turut menjemput semua kepimpinan parti dalam kerajaan Perpaduan termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk bersama menghadiri himpunan perdana itu.
"Kita membuka ruang seluas-luasnya untuk mereka hadir bersama dan akan mengupas perkara berkaitan agar mereka mendengar sendiri pandangan kami," tambahnya.
Comments