Oleh: Akmal Manaf
KEADILAN perlu melakukan persediaan awal termasuk menyiapkan jentera dan menyusun strategi gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi.
Pesanan itu diberikan oleh Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar ketika majlis makan malam dan perjumpaan khas bersama Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Sabah, Ketua-Ketua Cabang, Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN yang diadakan di Kota Kinabalu baru baru ini.
Menurut Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Sabah, Junaidah Makku, antara pesanan lain dititipkan Nurul Izzah adalah menguatkan kerjasama dalam kalangan Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Jawatankuasa Cabang, AMK dan juga Wanita.
"Puan Nurul Izzah Anwar hadir untuk sembang santai bersama pimpinan utama KEADILAN Sabah bagi mendengar isu-isu menjelang pemilihan parti dan persiapan menghadapi PRN yang bakal menjelma tidak lama lagi.
"Turut hadir dalam dalam perjumpaan berkenaan adalah Timbalan Pengerusi MPN Sabah, Datuk Peto Galim; Ketua AMK Sabah, Zaidi Jatil; Mantan Pengerusi MPN, Datuk Dr Sangkar Rasam dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Christina Liew Chin Jin.
"Selain itu, turut hadir memeriahkan majlis adalah Ketua-Ketua Cabang, Ketua-Ketua Wanita, dan Ketua-Ketua AMK," katanya menerusi satu kenyataan.
Pada 3 November lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata, PRN ke-17 Sabah pada tahun depan akan menjadi medan untuk menguji kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN).
Beliau yang juga Presiden UMNO menyifatkan, PRN itu penting dalam menilai persefahaman bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, seterusnya menjadi asas kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan dan sewajarnya diteruskan bagi menjamin kestabilan politik.
Comentários