Oleh: Abdullah Zaid
Seramai 150 orang pelajar tingkatan tiga terlibat dalam program anjuran SciTech4U STEM Camp di Pahang, baru-baru ini.
Program kendalian Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu melibatkan kerjasama dua badan bukan kerajaan (NGO) antaranya, Wanita Inspirasi Kuantan (WINK) dan NGO Pertubuhan Ekonomi Madani Pahang (E-Madani).
Menurut pengarahnya yang juga Naib Pengerusi KEADILAN Pahang, Fakhrul Anuar Zulkawi, program tersebut bertujuan untuk merangsang dan meningkatkan minat pelajar menengah rendah memilih aliran Sains dengan melihat potensi pembelajaran di peringkat universiti.
"Saya berharap dapat meningkatkan kefahaman Matematik dan Sains yang dipelajari di sekolah apabila mengikuti modul-modul pembelajaran STEM di dalam program ini," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu lagi, program berkenaan telah menghasilkan lapan modul pembelajaran antaranya Robotik, Kecerdasan Buatan (AI), Pelancar Roket, 3-D Printing, Soccer Robotic, Arduino Coding, Solar Farm dan Popsicle Bridge.
Jelasnya, model pembelajaran itu dibangunkan pensyarah Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk tujuan pembelajaran yang lebih santai dan sesuai untuk para remaja sekolah.
Selain itu, kemuncak program dua hari tersebut disempurnakan Setiausaha Politik Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Simon Ooi Tze Min yang mewakili pihak MOSTI.
"Saya berharap agar lebih ramai pelajar Pahang terlibat dalam program khas yang dirangka oleh kementerian di sekolah-sekolah yang terpilih seluruh negara dengan kerjasama NGO.
"Kerjasama melalui program kali ini adalah kolaborasi strategik yang perlu digerakkan dengan lebih meluas lagi selepas ini," ujarnya lagi.
Comments