Pindaan perlembagaan parti dalam Kongres Nasional Khas KEADILAN semalam menjadikan parti keramat tersebut jauh lebih demokratik berbanding sebelumnya, terutama terhadap etnik minioriti.
Menurut pemimimpin KEADILAN Sarawak, Abun Sui Anyit (gambar, kanan sekali), dengan pindaan Fasal 17 itu etnik minioriti akan mempunyai cukup perwakilan dan lebih suara dalam memilih pimpinan sesuai dengan perjuangan pelbagai kaum KEADILAN sejak dua dekad lalu.
"Dengan pindaan pada Klausa 17 perlembagaan parti dengan penambahan Klausa baru 17B, maka semua etnik yang menganggotai parti akan diberi peluang untuk memimpin parti dan memilih pimpinan parti dari peringkat Cabang.
"Dengan pindaan kali ini, perwakilan ke kongres juga ditambah kepada 46 setiap cabang dengan penambahan 10 orang perwakilan setiap 1,000 anggota bagi anggota yang melebihi 3,000 anggota ke atas untuk memilih pemimpin semasa tahun pemilihan parti.
"Pindaan ini adalah bukti KEADILAN parti yang adil tanpa mengetepikan etnik tertentu untuk menjadi perwakilan," katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Abun yang juga Ketua Cabang Hulu Rajang menyambut baik perubahan yang bakal menjadikan KEADILAN sebuah parti yang lebih diyakini memperjuangkan pelbagai kaum di Malaysia.
"Semua bangsa ada peluang untuk memimpin parti tanpa sekatan perlembagaan.
"Tahniah kepada semua perwakilan yang hadir meluluskan pindaan perlembagaan parti," katanya yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN.
Untuk rekod, Kongres Khas KEADILAN semalam diadakan secara hibrid bertujuan untuk meminda perlembagaan bagi meningkatkan jumlah perwakilan untuk mengundi enam jawatan tertinggi parti serta 20 anggota Majlis Pimpinan Pusat.
Lebih dua pertiga perwakilan menyatakan persetujuan sewaktu pengundian, sekali gus meluluskan usul pindaan termasuk penetapan kuota gender dan etnik.
Comments