Oleh: Akmal Manaf
Menyedari kepentingan untuk golongan pelajar menguasai mata pelajaran Sains dan Matematik, KEADILAN Kuantan tampil dengan inisiatif program pemantapan dua subjek itu yang diadakan baru-baru ini.
Menurut satu kenyataan, lebih 200 pelajar Tingkatan Tiga di dua buah sekolah menengah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Lumpur, Parlimen Kuantan telah menyertai program tersebut.
"Program itu digerakkan di bawah Kuantan Prihatin Multi Services (KPMS), NGO Wanita Inspirasi Kuantan (WINK) dan APPGM-SDG Parlimen Malaysia dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Sains Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (SCIENCESS) dan Kuliyyah of Science UIAM Kampus Kuantan.
"Sekolah-sekolah yang terlibat adalah SMK Sungai Soi (SUSSES) dan SMK Tanjong Lumpur (TLUSS) yang merupakan dua buah sekolah menengah mempunyai bilangan pelajar daripada kumpulan keluarga B40 yang tinggi di daerah Kuantan.
"Melalui KPMS, WINK dan APPGM-SDG, dua buah sekolah ini juga telah terpilih menyertai STEM Camp SciTech4U anjuran bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di kampus UMPSA Pekan pada Ogos 2024 yang lalu," kata kenyataan itu.
Pengarah Program, Fakhrul Anuar Zulkawi menyifatkan program tersebut merupakan satu usaha untuk merangsang dan meningkatkan minat pelajar tingkatan tiga memilih aliran Sains Tulen atau STEM A apabila mereka mula memasuki tingkatan empat nanti.
Fakhrul yang juga Ketua Cabang KEADILAN Kuantan, berkata program itu adalah sebahagian usaha menyambut saranan dan gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar bilangan pelajar jurusan Sains Tulen ditingkatkan bagi memenuhi dasar dan hala tuju pembangunan negara di masa akan datang.
Seramai 80 mahasiswa dan mahasiswi UIAM Kuantan dari SCIENCESS telah menyertai program berkenaan.
Menurut Timbalan Dekan Kuliyyah of Science UIAM Kuantan, Prof Madya Dr Iskandar Bahari, usaha menyantuni pelajar untuk meminati dan meningkatkan penguasaan Matematik dan Sains adalah selari hasrat UIAM untuk bersama menyumbang ke arah penglibatan mahasiswa dalam masyarakat.
Sejak 2016 lagi, katanya, pihaknya telah bekerjasama dengan KPMS dalam menjayakan misi itu dan ia sangat memberi impak sosial yang tinggi kepada mahasiswa dan mahasiswi.
Dalam program itu, pelajar tingkatan tiga dibahagikan kepada 10 hingga 15 orang satu kumpulan dan digerakkan oleh dua mahasiswa.
"Ianya bertujuan untuk memberikan impak hubungan yang intensif bagi membantu pelajar untuk menguasai mata pelajaran Matematik dan Sains," ujar kenyataan itu lagi.
Comments