Oleh: Akmal Manaf
Cabang KEADILAN Kota Raja kini sedang giat melakukan persiapan susulan parti itu telah mengumumkan tarikh penting proses pemilihan jawatankuasa peringkat Cabang dan Pusat bagi sesi 2025-2028.
Ketua Cabang Kota Raja, Dr Gunaraj George berkata, pihaknya akan melakukan segala persiapan demi memastikan pemilihan parti berjalan dengan baik.
''Memang persiapan di Kota Raja hebat.. kita ada masa untuk mengaturkan strategi dan memastikan pemilihan parti berjalan lancar.
''Semua boleh bertanding.. itu adalah atas prinsip demokrasi.. tetapi kita belum tahu siapa yang akan bertanding.
''Mungkin dua atau tiga minggu lagi kita akan tahu siapa bertanding,'' katanya pada sidang media berkaitan kerja-kerja amal dan bantuan tenaga kerja demi memastikan Thaipusam disambut dengan bersih, disiplin dan teratur.
Dalam pada itu, Dr Gunaraj yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa berharap, calon yang bertanding nanti akan bersaing dengan adil.
''Semua ada hak untuk bertanding secara demokrasi.
''Kita pastikan pemilihan parti ini berjalan dengan baik, lancar dan semua yang bertanding sebenarnya berkhidmat untuk rakyat,'' ujarnya lagi.
Semalam, Setiausaha Agung KEADILAN, Dr Fuziah Salleh berkata, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) telah memutuskan beberapa tarikh penting seperti pencalonan jawatan-jawatan Ahli Jawatankuasa Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda Cabang akan diadakan pada 14 - 16 Mac 2025.
Pemilihan Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda Cabang pula dilaksanakan pada 11- 20 April 2025. Pencalonan jawatan-jawatan Majlis Pimpinan Pusat, Wanita Pusat dan Angkatan Muda pusat diadakan pada 3 - 4 Mei 2025.
Manakala pemilihan Pusat, Wanita Pusat dan Angkatan Muda pusat dilaksanakan pada 24 Mei 2025.
Comments