KEADILAN Kemaman sokong projek kawalan hakisan pantai Kerajaan Madani
- Suara Keadilan
- Mar 14
- 2 min read

KEADILAN Kemaman, Terengganu menyokong penuh dan menghargai peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan dalam mengawal hakisan pantai di kawasan itu.
Menurut kenyataan KEADILAN Kemaman, projek kawalan hakisan di Pantai Geliga yang diumum baru baru ini merupakan satu bukti sikap berjiwa besar Kerajaan Madani biarpun pembangkang Pas memerintah negeri Terengganu.
"KEADILAN Kemaman mengucapkan terima kasih atas (pengumuman) projek pengawalan hakisan pantai di Pantai Geliga oleh Kerajaan Persekutuan.
"Ini membuktikan bahawa Kerajaan Persekutuan sentiasa cakna atas keperluan rakyat Terengganu, khususnya di Kemaman di mana Pantai Geliga salah satu daripada tempat tumpuan pelancong yang utama di daerah ini," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, pelancongan di Pantai Geliga telah membawa limpahan pertumbuhan ekonomi yang baik dengan banyaknya perniagaan gerai gerai makanan penduduk tempatan di sepanjang pantai.
Juga, kata kenyataan itu terdapat tempat penetasan penyu, industri pembuatan keropok lekor, makanan tradisional sata dan otak otak.
Sekiranya hakisan dibiarkan terus berlaku sehingga merosakkan jalan masuk, rumah malah kilang industri makanan maka pencarian rakyat di kawasan tersebut akan terjejas teruk.
Kunjungan pelancong untuk melihat industri makanan tradisonal, kata kenyataan sama, akan terjejas kerana merisikokan kanderaan yang masuk melalui kawasan hakisan.
"Ini adalah produk pelancongan yang perlu dipelihara, jika Pantai Geliga mengalami hakisan yang teruk produk pelancongan ini akan lenyap
"Dalam hal ini KEADILAN Kemaman berharap Kerajaan Persekutuan terus memberi perhatian kepada rakyat Terengganu," kata kenyataan itu lagi.
Baru baru ini kerajaan telah meluluskan tiga projek bernilai RM182.5 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sebagai langkah jangka panjang untuk mengatasi masalah hakisan yang semakin serius di sepanjang pesisir pantai Terengganu.
Projek tersebut melibatkan Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Pantai Kuala Nerus, Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Geliga, Kemaman dan Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Kuala Paka, Dungun.
Comments