Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Kelantan sedang mengenal pasti beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang perlu diberi tumpuan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor berkata, pihaknya menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 14 kerusi DUN pada PRU tersebut.
Selain mengenal pasti kerusi berpotensi, pihaknya penyusunan gerak kerja berstrategi bermula lebih awal termasuk meneliti calon berpotensi dan memperkasa fungsi serta melatih 68,000 ahli parti itu di Kelantan.
"Kami tidak boleh menunggu lebih lama dan perbincangan juga akan dilakukan dengan rakan-rakan parti komponen lain berkait perkara ini.
"Penstrukturan dan gerak kerja dilakukan sekarang melalui cara baharu dan bukan konvensional seperti seminggu sebelum PRU, baru mahu turun padang perkenalkan calon atau memberikan pelbagai tawaran," katanya dipetik.
Beliau sebelumnya merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) KEADILAN Kubang Kerian 2024, di Pasir Tumboh, di Kota Bharu pada Jumaat.
Mengulas lanjut Mohd Suparadi berkata, melalui strategi tepat termasuk tawaran pembangunan ekonomi dan sosial di setiap daerah di negeri berkenaan, parti itu mampu memenangi kerusi yang bakal ditandingi pada PRU itu kelak.
Commentaires