KEADILAN anjur himpunan kenang tarikh keramat Reformasi 20 September
- Suara Keadilan
- Sep 11, 2024
- 1 min read

Tarikh keramat tercetusnya gerakan Reformasi pada 26 tahun lalu tetap dikenang dalam kegemilangan pemerintahan Kerajaan Madani.
Sehubungan itu, KEADILAN akan menganjurkan Himpunan Gerakan Rakyat yang diusahakan bersama gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), aktivis dan mahasiswa pada 20 September ini.
Menurut kenyataan Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, himpunan yang bertema ‘Dari Reformasi ke Malaysia Madani’ dan boleh dihadiri oleh semua rakyat itu akan diadakan di Stadium Axiata Bukit Jalil, mulai pukul 8:00 malam hingga 11:30 malam.
Himpunan tersebut, katanya, bagi memperingati detik bermula gerakan reformasi pada 20 September 1998 yang bertempat di Dataran Merdeka, menghimpunkan seluruh rakyat dari segenap pelusuk negara sehingga kemudian lahirnya sebuah parti politik baharu, Parti Keadilan Nasional yang selepas itu dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).
Untuk rekod, dari sisi pejuang reformis tarikh 20 September merupakan detik hitam apabila pada malam itu tokoh Reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan dikediamannya di Bukit Damansara dan dipukul di lokap polis, yang menjadi pencetus gelombang kebangkitan rakyat menuju Pilihan Raya Umum 1999.
Peristiwa mata lebam akibat pukulan itu kemudiannya diabadikan sebagai logo 'mata' pada lambang KEADILAN yang digunakan sehingga ke hari ini.
Comments