Tiga biro dalam KEADILAN baru baru ini menganjurkan bengkel pemantapan gerak kerja pimpinan peringkat negeri di Terenggau dan Kelantan.
Menurut Timbalan Pengarah Biro Strategi Pusat, Raiyan Abdul Rahim, bengkel berkenaan dianjurkan oleh Biro Strategi, Biro Penerangan dan Biro Komunikasi KEADILAN Malaysia atau nama singkatannya STRAKOMPEN.
Katanya, seramai 60 orang peserta yang terdiri daripada Ketua Cabang, Ketua Penerangan Cabang, Pengarah Komunikasi Cabang dan pimpinan Wanita Cabang serta AMK Cabang terlibat dalam bengkel bertempat di Hotel Grand Continental Kuala Terengganu itu.
"Bengkel kali ini tertumpu kepada fokus untuk memperkukuhkan strategi, komunikasi dan penerangan di peringkat akar umbi
"Latihan ini memberi ruang dan peluang kepada anggota dan pimpinan parti untuk memahami dan melihat dengan lebih jelas hala tuju serta matlamat semasa parti agar penyampaian maklumat dapat disalurkan dengan lebih efisien melalui pusat ke peringkat cabang pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Raiyan lagi, antara yang menjadi fokus bengkel ialah latihan praktikal oleh penceramah termasuk pembentangan data, kajian kes, simulasi dan diskusi kumpulan berkaitan komunikasi politik. Strategi melibatkan media sosial juga turut dibincangkan.
"Latihan ini membolehkan akar umbi untuk menyantuni pengundi dan menyampaikan maklumat secara lebih berkesan berkenaan naratif politik, inisiatif dan usaha kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia," katanya lagi.
Antara penceramah jemputan yang turut hadir dalam sesi latihan selain Raiyan sendiri adalah Setiausaha Koordinasi Penerangan Pusat,Iswardy Morni; Timbalan Ketua Penerangan AMK Pusat, Hanani Dhamirah, pempengaruh Najib Bakar, ADUN Wasanthee Sinnasamy dan Ahli Parlimen Onn Abu Bakar.
Raiyan dalam kenyataan itu turut mengucapkan setinggi penghargaan kepada Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Terengganu saudara Nazri, Pengerusi MPN Kelantan Datuk Suparadi, peserta, penceramah, dan penaja yang telah menjayakan program tersebut.
コメント