Oleh: Akmal Manaf
Kenyataan Timbalan Speaker Dewan Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed kononnya KEADILAN dan AMANAH sekadar 'penumpang' dalam Kerajaan Perpaduan diterajui UMNO dan DAP adalah tidak wajar sama sekali biar pun dalam konteks politik Johor.
Pengarah Strategi KEADILAN Johor, Arthur Chiong Sen Sern berkata, kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu amat mengecewakan kerana KEADILAN dan AMANAH tidak hanya memainkan peranan marginal, sebaliknya kedua-dua parti itu adalah rakan kongsi yang penting dalam menyumbang kepada kestabilan negara.
Katanya, penglibatan kedua-dua parti bukan sekadar mengisi ruang kosong dalam kerajaan tetapi aktif menggerakkan perubahan untuk kebaikan semua rakyat Malaysia.
"Kerajaan Perpaduan dibentuk atas dasar muafakat yang menjunjung prinsip demokrasi dan kepentingan rakyat.
"Setiap parti, termasuk KEADILAN dan Amanah memberikan sumbangan signifikan dalam perancangan dasar, pentadbiran dan juga pembangunan negara.
"Tuduhan bahawa kami sekadar 'penumpang' adalah satu usaha untuk mengalihkan perhatian daripada realiti bahawa rakyat menolak politik lama yang berasaskan perpecahan dan perebutan kuasa.
"Apa yang penting bagi KEADILAN dan AMANAH adalah memperjuangkan nasib rakyat, bukan mengejar jawatan atau kuasa semata-mata," kata beliau dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Arthur yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu turut menyelar dakwaan Nur Jazlan selepas tokoh itu tidak lagi relevan dalam politik kerana telah ditolak rakyat.
"Beliau sendiri telah mengalami kekalahan dua kali dalam Pilihan Raya Umum (PRU) bagi Parlimen Pulai. Realitinya, beliau kini merupakan ahli politik yang semakin hilang relevansi, bukan sahaja di Johor tetapi juga di peringkat nasional.
"Beliau kini memegang jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara dan seharusnya mengekalkan sikap berkecuali dan tidak terlibat dalam polemik politik.
"Sebagai seorang yang memegang kedudukan penting dalam institusi perundangan, adalah wajar untuk beliau bersikap adil dan tidak memihak, sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul," ujarnya.
Kenyataan yang dikeluarkan Nur Jazlan disifatkan Arthur Chiong sebagai cubaan untuk memecah-belahkan perpaduan yang sedang diusahakan.
Katanya, Kerajaan Perpaduan telah menunjukkan perbezaan politik boleh disatukan demi kepentingan negara.
"Kenyataan yang tidak berasas seperti ini tidak akan mempengaruhi usaha kami dalam memastikan kestabilan dan kemakmuran Malaysia.
"Sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, beliau sepatutnya memainkan peranan yang lebih signifikan dalam mengekalkan keharmonian dan bukannya menimbulkan perpecahan dengan kenyataan yang tidak bertanggungjawab," tempelak beliau lagi.
Commentaires