Oleh: Akmal Manaf
Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) menyeru Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggunakan pengaruh Malaysia di peringkat antarabangsa bagi membuka laluan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Setiausaha pertubuhan itu, Muhammad Faeez Azahar berkata, pihaknya juga memohon kerajaan meningkatkan tekanan diplomatik dan mengambil langkah proaktif seperti menggerakkan misi bantuan kecemasan musim sejuk dan bekalan perubatan melalui kerjasama dengan negara-negara jiran.
Ujarnya, derita ditanggung rakyat Gaza kini berkali ganda apabila tiba musim sejuk yang menyaksikan sekurang-kurangnya empat bayi maut membeku, manakala seorang petugas kesihatan ditemui kaku dalam khemahnya di al-Mawasi.
"Israel masih menyekat kemasukan bantuan termasuk selimut dan keperluan asas musim sejuk, menyebabkan kematian yang sepatutnya boleh dielakkan.
"Keadaan bertambah kritikal apabila Hospital Kamal Adwan turut diserang tentera Israel, dengan bilik pembedahan dan makmal dibakar.
"350 orang termasuk 75 pesakit dan 185 kakitangan perubatan dipaksa keluar, manakala lima kakitangan perubatan termasuk pakar pediatrik terkorban," katanya dalam kenyataan.
Susulan serangan itu, Muhammad Faeez menyifatkan umat Islam di Gaza kini sudah tiada tempat untuk bergantung harap.
"WHO sendiri memberi amaran bahawa tindakan Israel membongkar secara sistematik sistem kesihatan Gaza adalah hukuman mati bagi puluhan ribu rakyat Palestin.
"Ratusan ribu penduduk Gaza kini terpaksa bertahan dalam khemah plastik yang rapuh menghadapi musim sejuk tanpa bekalan makanan dan perubatan yang mencukupi.
"Kami sebagai NGO di Malaysia sentiasa bersedia untuk meneruskan usaha bantuan ini. Kami juga menyeru kerajaan untuk meneruskan kerjasama dengan NGO-NGO tempatan, selain meningkatkan usaha mendapatkan laluan bantuan melalui sempadan yang masih boleh diakses," katanya.
Menjelang 2025, beliau berkata krisis kemanusiaan di Gaza seolah-olah semakin disisihkan daripada perhatian dunia.
Menurutnya, penggunaan kuasa veto oleh Amerika Syarikat di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan sikap tidak acuh kebanyakan negara Barat membuktikan kegagalan sistem antarabangsa untuk melindungi nyawa rakyat Palestin.
"Kita tidak boleh membiarkan rakyat Palestin terus menderita tanpa harapan. Semoga Allah melindungi saudara-saudari kita di Gaza dan memberi kekuatan kepada mereka menghadapi ujian yang getir ini.
"Kita turut berdoa agar dunia segera sedar dan bangkit mempertahankan kemanusiaan di bumi Gaza," ujarnya.
Comments