
Pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia yang melonjak kepada 5.1% pada 2024 berbanding 3.6% pada tahun sebelumnya mencerminkan keyakinan dan kesungguhan Kerajaan Madani untuk mengubah ekonomi negara.
Kementerian Kewangan (MOF) menerusi satu kenyataan berkata, pencapaian ini dipacu dasar yang jelas dan progresif yang diperkenalkan sejak 2023 di bawah kerangka Ekonomi Madani.
Ia turut dicapai menerusi usaha bersepadu dengan pihak industri dan disokong oleh kestabilan politik negara.
"Menjelang tahun 2025, Kerajaan MADANI kekal komited sepenuhnya bagi memperkukuh agenda pembaharuan ekonomi dan institusi untuk melonjakkan negara ke tahap yang lebih tinggi," kata Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kenyataan itu.
Terdahulu, Bank Negara Malaysia (BNM) pada Jumaat mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.1% melepasi sasaran minimum kerajaan pada kadar 5%.
Penunjuk sokongan lain yang menyumbang kepada pertumbuhan KDNK 2024 termasuk inflasi menyederhana kepada 1.8% (2023: 2.5 peratus); dan kadar pengangguran yang rendah pada 3.3% (2023: 3.4%) dengan trend menurun kepada 3.1% pada Disember 2024, terendah dalam tempoh 10 tahun.
Sementara itu menurut MOF, Kerajaan MADANI juga mengatasi sasaran defisit fiskal bagi 2024 iaitu 4.1% berbanding sasaran 4.3%.
Comments