Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menerokai teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam usahanya memberikan perkhidmatan lebih cekap kepada rakyat.
Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, usaha itu mampu meningkatkan integriti serta keselamatan negara dan sebagai permulaan kementeriannya sudah mengadaptasi teknologi itu menerusi sistem pengecaman wajah menggunakan teknologi AI di beberapa pintu masuk sempadan negara.
"Kami akan terjemahkan (AI) dalam banyak perkara, sebagai permulaan di pintu masuk negara dan kita akan umumkan bertahap dari semasa ke semasa.
"KDN dan seluruh agensinya akan embrace AI sebagai solusi dan hasil akhirnya mestilah sistem penyampaian yang lebih cekap dan isu-isu integriti," katanya dipetik.
Saifuddin ditemui pemberita di Majlis Penutupan Sidang Kemuncak dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia 2025 (AISSE 25) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Rabu.
Sebagai rekod, KDN melaksanakan sistem pengecaman wajah menggunakan teknologi AI di pintu masuk sempadan di Terminal 1 dan 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor bermula 1 Jan.
Penggunaan teknologi AI berkemampuan menyelesaikan isu keselamatan dan kawalan sempadan dengan lebih pantas, cekap dan efektif berdasarkan data di bawah setiap agensi dan jabatan di bawah KDN.
Sementara itu Saifuddin sebagai mengulas AISSE 25 berkata, penganjurannya merupakan satu kejayaan besar bukan sahaja kepada negara, malah kepada KDN khususnya Polis Diraja Malaysia.
"Bukan sahaja pameran, bengkel perbincangan yang diadakan sepanjang tiga hari acara ini berlangsung, membincangkan pelbagai topik terutama segmen keselamatan antarabangsa serta daripada perspektif domestik. Ini satu kejayaan kepada kami," katanya.
Commentaires