Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyasarkan sebanyak enam Baitul Mahabbah baharu dapat beroperasi sepenuhnya menjelang penghujung tahun ini.
Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tiga fasiliti untuk menempatkan kanak-kanak warga asing di depot imigresen itu telah beroperasi setakat ini iaitu di Nilai, Negeri Sembilan; Papar, Sabah; dan Bekenu, Sarawak.
"Kalau dalam keadaan depot imigresen yang sedia ada di mana yang dewasa dan kanak-kanak di tempat sekali, tentulah keadaan tidak kondusif, oleh itu KDN melalui Jabatan Imigresen tampil dengan idea menempatkan kanak-kanak berumur 10 tahun ke bawah ini di premis yang lebih kondusif.
"Baitul Mahabbah yang pertama diluncurkan pada 4 September 2023 iaitu di Nilai, Negeri sembilan diikuti pada 15 Disember 2023 kita luncurkan yang kedua di Papar, Sabah dan hari ini (Khamis) di Bekenu adalah premis kita yang ketiga.
"Kita akan luncurkan lagi tiga berikutnya iaitu di Kedah, Kelantan dan Johor, sasaran kami adalah tahun ini paling kurang enam, tapi kalau boleh ikhtiar kami KDN adakan lebih daripada enam, itu akan kami umumkan.
"Ini boleh dilaksanakan kerana KDN untuk projek Baitul Mahabbah menerima peruntukan sebesar RM10 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang juga Menteri Kewangan pada pembentangan bajet tahun lepas untuk bajet tahun ini," katanya dipetik.
Saifuddin sebelumnya hadir ke Majlis Peluncuran Baitul Mahabbah Bekenu yang terletak kira-kira 50 kilometer dari bandar raya Miri pada petang Khamis.
Mengulas lanjut Saifuddin berkata, melalui kewujudan Baitul Mahabbah, KDN melalui Jabatan Imigresen berjaya mencapai beberapa objektif penting, pertamanya menterjemah prinsip MADANI iaitu sifat empati, ihsan dan pemurah.
"Keduanya, Jabatan Imigresen sebagai teraju utama program ini bersama RELA (Jabatan Sukarelawan Malaysia) meneroka satu lagi tugasan baharu luar daripada tugas hakiki biasa iaitu berganding bahu untuk turut menjaga dan mengawal selia premis Baitul Mahabbah.
"Ketiganya, inisiatif ini boleh menarik penglibatan dan sokongan kumpulan-kumpulan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan individu-individu berpengaruh dan ini objektif yang paling minimum telah berjaya kita capai," kata beliau lagi.
Commenti