KDN haramkan dua buku agama sebar ideologi gugat keselamatan awam
- Suara Keadilan
- 6 days ago
- 1 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan pengharaman dua buah penerbitan buku, satu lagi langkah terbaru bagi mengekang penyebaran ideologi yang boleh menggugat keselamatan dan keharmonian awam berkuat kuasa pada 10 Mac lalu.
Dua buku tersebut ialah “The Goal of The Wise: The Gospel of The Riser of The Family of Mohammed” oleh Abdullah Hashem dan "Suka Duka Perjalanan Iskandar Dhul-Qarnain/Cyprus The Great dan Iskandar Agung".
"Hal ini penting bagi mengelakkan penyebaran ideologi atau gerakan yang boleh mengganggu gugat keselamatan dan keharmonian masyarakat.
"Oleh itu, KDN telah mewartakan Perintah Larangan bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) berkuat kuasa pada 10 Mac 2025 bagi dua tajuk penerbitan melalui Warta Kerajaan," kata kenyataan itu hari ini.
KDN berkata perintah larangan itu selaras dengan peruntukan bawah Subseksyen 7(1) akta berkenaan yang menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan tersebut yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam atau kepentingan awam dilarang secara mutlak di Malaysia.
"Perintah larangan bawah Akta 301 ini berasaskan konsep kawalan dan pencegahan sebelum suatu ancaman atau kemudaratan itu berlaku.
"Dalam masa sama, masyarakat turut mendapat pendedahan dan kesedaran mengenai hasil-hasil penerbitan yang tidak diingini dan tidak sesuai untuk bacaan umum," katanya.
Sebelum ini, KDN mewartakan pengharaman ke atas 12 penerbitan yang bercanggah dengan ajaran Ahlul Sunnah Wal Jamaah berdasarkan fatwa dikeluarkan Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI).
Comments