Kira-kira 15,000 permohonan kewarganegaraan berkaitan kes anak tidak sah taraf dan anak angkat serta anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu rakyat Malaysia sudah diselesaikan, kata Menteri Dalam Negeri.
Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, pihaknya berharap dapat mengekalkan momentum untuk mempercepatkan proses berkaitan permohonan kewarganegaraan dengan sekitar puluhan ribu permohonan lagi dalam proses keputusan.
"Bila saya tengok profil data permohonan saya dapati anak yang lahir di luar ikatan perkahwinan itu tertinggi dan sebenarnya boleh diselesaikan mengikut peruntukan sedia ada dalam Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.
"Saya fikir anak ini tak perlu dihukum atas kesilapan ibu bapa kerana itu arahan saya kepada pegawai adalah proses segera dan kerana itu kita letakkan KPI (petunjuk prestasi utama) kita.
"...untuk tahun lalu kita letakkan 14,000 yang kita capai tepat pada Disember 2023 dan sekarang sudah masuk bulan keenam dan angka itu secara keseluruhan sudah mencecah lebih 15,000 sebenarnya," kata beliau dipetik selepas mengadakan program Ramah Mesra Bersama Masyarakat India Sungai Bakap di Nibong Tebal pada Ahad.
Saifuddin sementara itu berkata, permohonan kewarganegaraan membabitkan kes tersebut merupakan permohonan tertinggi sejak tahun lalu.
Manakala pihaknya turut menerima permohonan bagi kategori naturalisasi tetapi jumlahnya amat sedikit.
Terdahulu beliau yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) dan Setiausaha Agung KEADILAN ketika berucap memberi jaminan, beliau sendiri akan berusaha sehabis baik berhubung isu kewarganegaraan yang dihadapi penduduk Sungai Bakap.
Comentários