Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersedia untuk menanggung kos rawatan lanjut atlet kayak negara, Siti Nurul Masyitah Md Elias, 22, yang cedera parah akibat kemalangan pada Sabtu lalu.
Timbalan Menterinya, Adam Adli Abd Halim berkata, buat masa ini tumpuan penuh diberikan kepada proses pemulihan dan kesihatan fizikal serta mental atlet tersebut.
"Kita akan menumpukan sepenuh perhatian terhadap proses pemulihan dan kesihatan fizikal serta mentalnya dan KBS juga bersedia untuk menanggung kos rawatan sekiranya memerlukan kulit import dari luar negara untuk rawatan kecederaan pada bahagian belakang seperti rawatan yang dilakukan ke atas pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim.
"Saya sempat memberi semangat kepadanya untuk terus bangkit," katanya selepas melawat atlet tersebut yang kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital swasta di Johor Bahru hari ini.
Dalam lawatan itu beliau mendapatkan perkembangan terkini atlet berkenaan yang dilaporkan patah tulang pelvik, bahu kanan serta belakang badan.
Menurut Adam Adli, tempoh penyembuhan atlet berkenaan dijangka memakan masa lama namun pihaknya yakin atlet tersebut akan diberikan rawatan terbaik.
Jelasnya, Masyitah yang merupakan pelajar jurusan kejuruteraan mekanikal turut menyatakan hasrat untuk menduduki dua lagi kertas peperiksaan semester akhir di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS).
Dalam perkembangan lain Adam Adli berkata, Masyitah berkemungkinan terlepas peluang beraksi pada Kejohanan Perahu Panjang Persekutuan Lumba Kanu Antarabangsa (ICF) 2024 yang dijadualkan berlangsung di Palawan, Filipina pada 30 Oktober hingga 3 November depan.
"Dia dalam persediaan untuk ke kejohanan dunia pada November ini, jadi dalam keadaan sekarang mungkin terlepas," katanya.
Sementara itu, ibunya, Saloma Ramli, 58, memberitahu Masyitah menunjukkan perkembangan positif kerana telah sedar selain boleh bertutur dan makan seperti biasa.
Katanya, doktor turut memaklumkan anaknya perlu berpuasa hari ini untuk menjalani prosedur rawatan kulit.
"Pukul 10 pagi hari ini dia mula puasa dan dijangka masuk ke bilik bedah pada jam 5 petang untuk mengetahui sama ada boleh gunakan kulit bahagian lain untuk tampal bahagian belakang yang cedera," katanya.
Media tempatan melaporkan Masyitah cedera parah selepas dilanggar dan diseret sejauh 600 meter apabila motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta dipandu lelaki dipercayai mabuk di Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) pada Sabtu.
Comments