KBS komited kukuh dasar antidoping dalam sukan
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 1 min read

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) menganjurkan sambutan Play True Day 2025 sebagai komitmen untuk memperkukuh budaya sukan bersih dan berintegriti di Malaysia.
Timbalan Menterinya Adam Adli berkata, sambutan bertemakan “Play True: It Starts With You” itu bertujuan menyeru seluruh pemegang taruh sukan menggalas tanggungjawab kendiri dalam memelihara integriti sukan.
Ia menyasarkan pelbagai kumpulan seperti atlet elit, pelapis, jurulatih, pegawai, pelajar institusi pendidikan tinggi dan sekolah sukan, serta komuniti sukan akar umbi, agensi kerajaan, NGO, dan sektor swasta berkaitan kesihatan dan sukan.
"Setiap individu harus ingat, sebagai atlet mereka tidak hanya mewakili permainan tersebut atau nama sendiri.
"Mereka mewakili negara atau negeri atau daerah anda. It's something bigger than yourself," katanya dipetik pada ucapan pelancaran acara itu di Kuala Lumpur pada Sabtu.
Sementara itu tambahnya, bagi memastikan keberkesanan pencegahan doping, KBS bersama ADAMAS giat melaksanakan program pendidikan selain melaksanakan perkongsian data dan amalan terbaik dan sokongan kepada penyelidikan berkaitan suplemen tercemar.
Selain itu, penubuhan Jawatankuasa Atlet pula dilihat sebagai langkah strategik untuk melibatkan suara atlet dalam dasar dan pendidikan antidoping, menjadikan mereka ejen perubahan dalam membentuk budaya sukan yang bersih dan berintegriti.
Comments