Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini dalam fasa akhir bagi memuktamadkan lokasi pembinaan stadium e-sukan.
Timbalan Menteri KBS, Adam Adli Abdul Halim di Dewan Negara pada Rabu memberitahu, pembinaan stadium tersebut akan memberi peluang kepada lebih banyak penganjuran liga e-sukan yang lebih kondusif dan lebih kompetitif.
"Retetan kejayaan Selangor Red Giant menjuarai kejohanan Mid-Season Cup, MSC Mobile Legends 2024 di Esport World Cup yang berlangsung di Riyadh pada Julai lalu, kerajaan telah memberi fokus kepada e-sukan.
"Dalam Belanjawan MADANI 2025 Perdana Menteri telah pun bersetuju memperuntukkan sebanyak RM20 juta untuk memperkasa ekosistem e sukan meliputi pembangunan bakat serta naik taraf arena.
"KBS dalam fasa akhir memuktamadkan lokasi pembinaan stadium e-sukan," katanya dipetik.
Beliau sebelumnya menjawab soalan dikemuka Senator Hasbie Muda berkaitan pembangunan ekosistem sektor sukan tersebut.
Media sebelum ini melaporkan RM10 juta daripada daripada keseluruhan peruntukan diumumkan pada Belanjawan lalu akan digunakan untuk pembinaan stadium khusus tersebut.
Sementara selebihnya bagi tujuan latihan dan juga lain-lain aktiviti kemahiran seperti kewartawanan dan pengulas e-sukan, produksi penyiaran, pengurusan pasukan, kejurulatihan, penganjuran acara dan kerja teknikal berkaitan sukan tersebut.
Dalam pada itu Adam Adli yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya memaklumkan, setakat ini pelbagai penganjuran liga e-sukan tempatan sudah dijalankan di bawah kementerian, kerajaan negeri, persatuan sukan termasuk pihak swasta dan persendirian
Antara liga yang dianjurkan antaranya Malaysia Esport League (MEL). Mobile Legends Bang Bang Professional League (MPL) Malaysia, PUBG Mobile Pro-League (PMPL) Malaysia, ESL ONE Malaysia dan termasuklah Kejohanan Dunia M6 yang sedang berlangsung di IOI City Mall Putrajaya .
Comments